Kerajaan Johor Bakal Bangunkan Taman Botani Di Yong Peng

NUSAJAYA, 12 Mei — Kerajaan negeri Johor bakal membangunkan sebuah taman botani di Yong Peng melibatkan peruntukan RM20 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Abdul Latif Bandi berkata projek itu adalah sebagai melengkapkan Pelan Induk Pembangunan Landskap Taman Botani Johor, yang merupakan perancangan jangka panjang kerajaan negeri.

PERASMIAN BANK PERSATUAN CAWANGAN JOHOR BAHRUMenerusi pelan induk itu, ia bakal mengemukakan cadangan untuk menjadikan 10 lot tapak semaian yang tidak digunakan di Yong Peng sebagai sebahagian Taman Botani Johor yang kedua.

Abdul Latif berkata cadangan itu juga akan mengguna pakai Seksyen 62 Kanun Tanah Kerajaan untuk membolehkan Jabatan Landskap Johor (JLJ) menyelenggara taman berkenaan.

“Pembangunan Taman Botani tidak berhenti setakat ini sahaja, pada tahun ini, JLJ akan menambah baik lagi kemudahan mesra pelawat serta infrastruktur Taman Botani Johor yang pertama (terletak di Sri Medan Batu Pahat ketika ini) dengan
mewujudkan tiga plot iaitu plot taman organik, taman berumput dan riparian.”

“Selain itu, kita juga akan membangunkan laluan pejalan kaki jenis premix sepanjang dua kilometer dan sistem pengairan dan saliran,” kata beliau ketika menjawab soalan Gan Peck Cheng (DAP-Penggaram) pada persidangan Dewan Undangan
Negeri Johor ke-13, di sini hari ini.

Abdul Latif berkata berdasarkan kajian, pengunjung yang hadir ke Taman Botani (Batu Pahat) ketika ini dianggarkan sebanyak 6,000 orang sebulan dan menjangkau 72,000 pengunjung dalam tempoh setahun.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Raven Kumar (BN-Tenggaroh) sama ada kerajaan akan mewujudkan pusat niaga di Taman Botani Johor Batu Pahat, beliau berkata ia sememangnya ada dalam rancangan pembangunan.

“Saya melihat konsep ini menarik kerana memudahkan pengunjung membeli produk kraftangan, cenderamata dan pelbagai lagi yang dihasil dari tanaman taman itu,” kata beliau.

Taman Botani Johor Batu Pahat merupakan projek yang dijalankan secara bersama antara kerajaan negeri dan persekutuan sejak 2000 dan melibatkan tapak seluas 64.4 hektar.