49 Kes Pencemaran Di Johor Di Bawa Ke Mahkamah Tahun Lalu

NUSAJAYA, 12 Mei — Sebanyak 49 kes pencemaran dibawa ke mahkamah tahun lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 14 kes merupakan pencemaran air, pembakaran terbuka (17 kes), pencemaran udara dari kilang (1) dan pencemaran dari kenderaan yang mengeluarkan asap hitam (6).

imageAyub berkata pihaknya turut membawa 11 kes ke mahkamah atas sabitan ketidakpatuhan notis arahan, syarat arahan dan syarat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Kerajaan Johor sentiasa bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencemaran, tetapi pada masa sama kita perlu mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan kes yang dibawa ke mahkamah berpihak kepada kerajaan,” katanya bagi menjawab soalan Ali Mazat Salleh (BN-Bukit Permai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Mengenai penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Semanggar dan Sungai Johor pada 2 April lalu, beliau berkata tindakan segera telah diambil terhadap pemilik kilang yang melakukan pencemaran sehingga memaksa penutupan LRA itu.

“Pada 3 April, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor (JASNJ) melakukan penahanan operasi kelengkapan iaitu ‘reactor pyrolysis’ di bawah Seksyen 38(1) (a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada premis dan mereka tidak dibenarkan
beroperasi sehingga kes selesai sepenuhnya.

“JASNJ juga telah menyediakan kertas siasatan (IP) berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu sekatan mengenai pencemaran perairan daratan yang boleh dikenakan denda tidak lebih daripada
RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” kata Ayub.

Beliau menambah IP itu telah diserahkan kepada Unit Pendakwaan JASNJ dan perbincangan dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan diadakan pada 19 Mei ini di Putrajaya.