SPNB Luluskan 5,141 Permohonan RMR1M Di Johor

NUSAJAYA, 11 Mei — Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) meluluskan 5,141 permohonan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di negeri ini sejak 2012 daripada keseluruhan permohonan sebanyak 18,293 seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Abd Latif Bandi berkata daripada jumlah itu 4,482 unit berjaya dibina daripada keseluruhan 33,182 unit RMR1M di seluruh Malaysia dari 2002 sehingga kini.

“Terdapat 659 unit RMR1M lagi masih dalam peringkat pembinaan,” kata beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Endau.

PERASMIAN BANK PERSATUAN CAWANGAN JOHOR BAHRUAbd Latif berkata demikian ketika menjawab soalan Zaiton Ismail (BN-Sungai Balang) dan Abd Taib Abu (BN-Machap) pada persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sepanjang tahun lepas sahaja, SPNB membina sebanyak 1,280 unit RMR1M di negeri ini.

Daripada jumlah tersebut, 827 unit rumah berjaya disiapkan manakala baki 453 masih dalam pembinaan, kata beliau.

Abd Latif berkata menerusi ucapan Bajet 2015 lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata SPNB dipertanggungjawab untuk membina 12,000 unit RMR1M bagi Program RMR1M 2014/2015 membabitkan subsidi berjumlah RM240 juta.

“Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan awal berjumlah RM160 juta kepada SPNB pada 16 April lalu untuk membina 8,000 unit RMR1M bagi peringkat pertama.

“Oleh yang demikian, pihak SPNB akan melaksanakan pembinaan RMR1M untuk 2014 dan 2015 dengan memberi keutamaan kepada permohonan terdahulu,” katanya.

Melalui peruntukan itu juga, SPNB menyasarkan untuk memulakan pelaksanaan program berkenaan sebelum berakhir suku kedua tahun ini.

Menyentuh perkembangan Pelan Hala Tuju Sungai Skudai yang dilancarkan pada 2012, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri setakat ini sudah melaksanakan 58 tindakan dan mencapai kemajuan pemuliharaan sungai sebanyak 34 peratus.

Beliau berkata pelan memulihara sungai yang penting di negeri itu menggariskan 15 strategi merangkumi 170 tindakan yang perlu dilaksanakan
pelbagai agensi dan jabatan berkaitan.

Ayub berkata pelan itu berhasrat mencapai objektif indeks kualiti air bersih kelas 2 dan pemuliharaan alam sekitar di lembangan Sungai Skudai.

Setakat ini, kemajuan pemuliharaan Sungai Skudai masih belum mencapai sasaran kerana pelan berkenaan akan tamat akhir tahun ini.

“Justeru, pelan hala tuju Sungai Skudai ini distruktur semula hasil mesyuarat jawatankuasa induk pada 1 Mac lalu dan sebanyak tiga jawatankuasa kecil ditubuhkan bagi menjayakan projek ini,” katanya ketika menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit).

Agensi yang terbabit dalam jawatankuasa itu adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) dan Unit Perancang Ekonomi Johor (UPEN).

Ayub Rahmat berkata antara halangan yang dihadapi untuk melaksanakan tindakan itu termasuk peruntukan yang terhad, tindakan penguatkuasaan yang lemah dan lembangan sungai yang pesat membangun menyumbang kepada pertambahan pencemaran.