Speaker DUN Johor Tegur Ketidakhadiran Ketua Jabatan Untuk Jawab Isu

NUSAJAYA, 11 Mei — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Tan Sri Mohamad Aziz hari ini menegur ketidakhadiran segelintir ketua-ketua jabatan di peringkat negeri dan persekutuan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13 yang masuk hari ketiga, di sini hari ini.

Beliau berkata kehadiran ketua-ketua jabatan ini amatlah dialu-alukan bagi menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh wakil rakyat.

ne_03_1“Suka saya hendak memohon kerjasama daripada ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan persekutuan agar hadir bersama-sama berada dalam dewan ini semasa persidangan berlangsung.

“Adalah lebih baik secara jelas, didengar ketua jabatan untuk tindakan susulan yang boleh diambil sekaligus lebih mudah memahami hasrat ahli-ahli Yang Berhormat,” katanya sebelum persidangan bermula di Kota Iskandar, hari ini.

Mohamad berharap kerjasama yang diberikan oleh ketua-ketua jabatan sebelum ini, dapat diteruskan.

“Saya tengok waktu petang, banyak ketua jabatan tidak dapat hadir … mungkin ada tugas perlu dilakukan di pejabat masing masing.

“Tetapi jangan sekali-sekali tiada wakil jabatan masing-masing untuk menunjukkan rasa tanggungjawab bersama dalam menjayakan pemerintahan kerajaan supaya kerajaan lebih berkesan dalam menyempurnakan kehendak rakyat,” kata beliau.