Kerajaan Negeri Pandang Serius Penularan Fahaman Ekstremis Di Johor

NUSAJAYA, 11 Mei — Kerajaan negeri memandang serius kegiatan ajaran agama yang ekstremis di negeri ini terutama yang bertentangan dengan fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Abd Mutalip Abd Rahim.

Beliau berkata usaha menyekat kegiatan seumpama ini adalah penting memandangkan ia dilihat semakin serius dan semakin menular di peringkat sekolah dan juga institusi pendidikan tinggi.

“Buat masa ini, saya lihat (isu ini) sangat serius tetapi kami masih mampu mengawal.

Abd Mutalip Abd Rahim“Melalui penubuhan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, kami hendak memberi pemahaman dari peringkat sekolah rendah, sekolah agama dan juga institusi pengajian tinggi kerana ramai juga didapati terlibat dalam aktiviti sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas sesi soal jawap pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dengan memberi pendidikan serta penguatkuasaan berterusan, aktiviti penyebaran fahaman dan aktiviti yang ekstremis seperti Wahabi, Syiah dan antihadis, ia boleh dikawal sebelum menjadi lebih serius lagi.

“Selain itu, saya dah berbincang dengan Datuk Mufti (Datuk Mohd Tahrir Samsudin) untuk membawa perkara ini untuk diperhalusi supaya Johor ada pendirian mengenai keburukan Wahabi sebab kami lihat ini sebagai ancaman besar,” kata Abd Mutalip.

Setakat ini, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah telah mengeluarkan pendirian dengan mengharamkan fahaman Wahabi di negeri-negeri berkenaan.

Terdahulu, Abd Mutalip, yang juga ADUN Layang-Layang berkata, kerajaan negeri akan mempertingkat pemantauan terhadap gerakan fahaman Wahabi, anti hadis dan Syiah dalam usaha untuk membendung akidah yang bertentangan dengan ajaran Islam Sunnah Wal Jamaah di negeri itu.

Menjawab soalan Datuk Ir Syed Sis Syed A. Rahman (BN-Tanjung Surat) mengenai anggaran jumlah pengikut fahaman Wahabi, anti hadis dan Syiah di negeri Johor setakat ini, beliau berkata kira-kira 1,000 pengikut Syiah dikesan di negeri itu manakala pengikut fahaman Wahabi dilihat bergerak secara rahsia.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai pengikut antihadis setakat ini, kata Abd Mutalip.

Menjawab soalan tambahan Syed Sis mengenai kes pendakwaan yang telah dibuat setakat ini, Abd Mutalip berkata sehingga kini, hanya satu kes diambil tindakan mahkamah manakala beberapa kes lagi telah dibuka kertas siasatan.