Kerajaan Negeri Diminta Kaji Rizab Tunai Untuk Hadapi Krisis

NUSAJAYA, 11 Mei — Kerajaan negeri diminta mengkaji kadar rizab tunai yang diperlukan dalam usaha mempersiapkan negeri dalam menghadapi kemungkinan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan pada masa hadapan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning (BN) Datuk Seri Saipol Bahari Suib berkata dengan kajian itu, jumlah rizab tunai yang diperlukan boleh ditentukan berdasarkan satu jangka waktu yang sesuai.

“Kajian perlu dilakukan oleh kerajaan negeri (mengenai) berapakah rizab tunai yang diperlukan untuk bertahan dalam kegawatan ekonomi.

“Ini bagi memastikan agar rizab tersebut bukan sekadar boleh dikekalkan tetapi selebihnya boleh digunakan untuk perbelanjaan pembangunan negeri demi kepentingan rakyat dalam apa situasi sekalipun,” kata beliau pada persidangan penggal ketiga Dewan Undangan Negeri ke-13 di Kota Iskandar, di sini hari ini. Datuk-Seri-Saipolbahari-Suib

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar ketika perasmian persidangan Khamis lepas.

Pada tahun lepas, rizab tunai berjumlah RM2.3 bilion berbanding RM1.7 bilion pada tahun 2013.

Sementara itu, ADUN Pemanis (BN) Lau Chin Hoon pula mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan satu Indeks Inovasi Khas, yang boleh digunakan untuk dibandingkan dengan indeks inovasi pada tahap kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Indeks inovasi ini pada awalnya akan memberitahu kita di manakah kedudukan kita sekarang, khasnya jurang di antara realiti dan aspirasi,” kata beliau.

Lau berkata pelaksanaan indeks inovasi dari setahun ke setahun akan memberitahu bagaimana pencapaian dan tahap sumber manusia yang ada di negeri ini.

“Sejauh manakah kita kreatif, inovatif dan apakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan piawaian antarabangsa,” kata beliau.

Pada titah perasmian Khamis lepas, Sultan Ibrahim mengingatkan kerajaan negeri supaya berhemah ketika berbelanja dan sentiasa bersedia menghadapi masa hadapan.

Baginda bertitah pelan pembangunan yang menyeluruh perlulah sentiasa dipantau dan dikaji kesesuaiannya agar selaras dengan perubahan ekonomi dan masyarakat.