Warga UMNO Perlu Bangkit Demi Masa Depan Parti – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 10 Mei — Anggota UMNO perlu bangkit, bekerja keras, bersatu, mengenepikan segala kepentingan sempit serta peribadi dalam menghadapi ujian besar yang dihadapi kini, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata anggota UMNO tidak boleh sekadar berpeluk tubuh, jika tidak parti itu hanya akan menjadi seperti parti lain.

hishammuddin_hussein_umno_620_413_100“Perjalanan UMNO adalah panjang, berliku dan sarat dengan darah, keringat serta air mata. Namun parti keramat ini kekal teguh sebagai wadah perjuangan terbaik untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia.

“UMNO merupakan wadah perjuangan yang mendewasakan kita sebagai manusia, yang memuliakan kita sebagai bangsa dan lebih penting wadah yang memerdekakan kita sebagai sebuah negara,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun UMNO
ke-69 esok.

Justeru, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan menyeru seluruh warga UMNO pelbagai peringkat umur menyahut cabaran memuliakan bangsa dengan penuh hikmah, kebijaksanaan, amanah dan keikhlasan.

“Semoga pengalaman lalu, perpaduan hari ini dan impian masa depan memimpin kita semua. Saya akan terus bersama dan mendokong perjuangan suci parti keramat orang Melayu ini,” katanya.

Sementara itu, Pergerakan Wanita UMNO mengakui parti itu kini sedang melalui saat-saat yang amat mencabar terutama dalam usaha mengembalikan semula kredibiliti UMNO di hati rakyat.UTahunUMNO-02

“Langkah-langkah bagi memulihkan semula keyakinan rakyat kepada UMNO perlu dilakukan dengan segera agar masalah ini tidak melarat hingga akhirnya menjadi barah,” kata ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam kenyataan di sini
hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata Wanita UMNO berpendirian apa jua langkah yang perlu diambil mestilah seperti ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak’ demi kepentingan parti dan bumiputera keseluruhannya.

Katanya Wanita UMNO percaya melalui tindakan sedemikian diiringi semangat perpaduan, bukan sahaja kredibiliti parti dapat dipulihkan tetapi sokongan rakyat kepada UMNO juga akan bertambah.