UMNO Johor Cadang Penubuhan Cawangan UMNO Untuk Komuniti Sarawak

JOHOR BAHARU, 10 Mei — UMNO Johor bercadang menubuhkan satu cawangan UMNO khusus untuk orang Sarawak dalam kawasan Parlimen Pasir Gudang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ia bertujuan sebagai galakan kepada komuniti berkenaan untuk menyertai politik selain bagi menjamin kebajikan dan keperluan mereka.

UTahunUMNO-01“Dengan adanya perwakilan ini, masyarakat Sarawak di negeri ini akan lebih terpelihara dari segi kebajikan dan mereka juga ada tempat untuk bersuara,” katanya dalam ucapan perasmian majlis praGawai 2015, di sini, malam tadi.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata terdapat kira-kira 40,000 penduduk Sarawak di negeri ini dan mereka layak diberi keistimewaan itu kerana mereka sudah lama bermastautin di negeri ini dan sentiasa memberi
sokongan kepada kerajaan serta menyumbang kepada ekonomi.

Selain itu, katanya kerajaan negeri bersetuju menunaikan hasrat Persatuan Komuniti Sarawak (PKS) bagi mewujudkan sebuah Kampung Budaya sebagai simbol kebudayaan Sarawak sekaligus menjadi tarikan baharu pelancongan di negeri ini.

“Jika telah dikenal pasti tapak yang sesuai, maka kerajaan negeri tidak ada halangan untuk membantu merealisasikan hasrat itu,” kata Mohamed Khaled.

Sementara itu, Penasihat PKS Raymond Brian berkata pihaknya amat gembira apabila kerajaan negeri bersetuju untuk membantu pembinaan Kampung Budaya itu yang diharapkan menjadi tarikan pelancongan di negeri ini.

“Kami sudah lama rancang tetapi kami belum buat kerana faktor tapak dan kewangan. Kami telah mengenal pasti pemaju yang sudi memberikan tapak,” katanya.