SKMM Disaran Sekat Facebook Promosi Ganja Herba Perubatan

NUSAJAYA, 10 Mei  — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) disaran agar menyekat laman Facebook yang dikesan giat mempromosikan marijuana atau ganja sebagai herba perubatan.

Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat (BN-Kempas) berkata ini kerana pihak pengendali Facebook yang menggunakan nama Malaysian Medical Marijuana itu sedang menyebarkan infomasi kepada masyarakat bahawa marijuana bukan dadah berbahaya tetapi mempunyai nilai perubatan yang tinggi dan pengharamannya oleh kerajaan harus ditarik balik.

dn_07.2“Perbuatan ini adalah bercanggah dan bertentangan dengan dasar dadah negara di mana marijuana termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Laman Facebook berbahasa Malaysia itu menyokong usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak secara global supaya marijuana atau ganja tidak diharamkan dan meminta Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghormati negara yang  menghalalkan marijuana,” katanya pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata hujah yang dimuat naik di laman soial berkenaan boleh mempengaruhi orang ramai untuk bertindak bertentangan dengan undang-undang negara.

Tengku Putra Haron Aminurrashid berkata laman tersebut yang sudah mendapat 4,600 pautan dikhuatiri mencapai tahap yang sukar dibendung.