Keluasan Rizab Melayu Johor 554,920 Hektar Sehingga 30 April Lepas

NUSAJAYA, 10 Mei — Keluasan tanah rizab Melayu Johor meningkat kepada 554,920 hektar dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding 432,157 hektar pada akhir tahun lepas, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata kesungguhan kerajaan negeri dalam meningkatkan peratusan tanah rizab Melayu itu merupakan antara langkah diambil bagi mengawal pemilikan hartanah oleh warga asing di negeri ini.

MB-04“Keluasan tanah rizab Melayu menyaksikan peningkatan daripada 22.8 peratus tahun lepas kepada 29.2 peratus daripada keluasan negeri Johor sehingga 30 April tahun ini.

“Di Johor ini (pemilikan hartanah) masih lagi milik mutlak rakyat Johor dan sehubungan itu, saya ingin menyatakan persepsi pemilikan hartanah asing yang di luar kawalan di negeri adalah tidak benar sama sekali selagi kerajaan Barisan Nasional (BN) mempertahankannya,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ayub Jamil (BN-Rengit) dan Datuk Samsol Bari Jamali (BN-Semarang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah sistematik dalam mengawal jumlah pemilikan hartanah oleh warga asing di Johor dan tidak menafikan ada pihak yang cuba menakutkan rakyat dengan persepsi yang salah.

Terdahulu, menjawab soalan Wong Shu Qi (DAP-Senai) berhubung hartanah yang dimiliki warga asing pada tahun lepas, Menteri Besar berkata sebanyak 58,547 transaksi pindah milik harta direkodkan di negeri ini dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya jumlah tersebut adalah berdasarkan Laporan Tahunan Pasaran Hartanah 2014 yang dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

“Bagi tempoh itu, kerajaan negeri hanya meluluskan sebanyak 7,830 permohonan kebenaran perolehan bagi kepentingan asing dan daripada jumlah itu, sebanyak 6,315 adalah bagi kategori bangunan dan kediaman.

“Selebihnya pula adalah kategori turun milik kuasa melalui pusaka iaitu sebanyak 140 permohonan dan pembelian tanah secara pajakan sebanyak 1,375 permohonan,” katanya.