Anggota UMNO Perlu Bersatu Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-69

MUAR, 10 Mei — Anggota UMNO perlu kembali bersatu sempena ulang tahun UMNO ke-69 esok, terutama dalam keadaan parti itu dibelenggu pelbagai masalah besar ketika ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razali Ibrahim berkata inilah masa yang paling sesuai kepada kira-kira 3.5 juta anggota UMNO untuk merenung kembali dan bermuhasabah diri bagi membuang perkara yang boleh merosakkan parti.

“Seluruh anggota UMNO perlu melihat sejarah penubuhan parti keramat ini sebagai satu inspirasi sehingga melahirkan bangsa Melayu yang bersatu kerana ketika itu, tuntutan terhadap kesatuan orang Melayu sangat tinggi.UTahunUMNO-03

“Perkara penting yang perlu kita belajar ialah apabila berpecah, kita lemah kerana ketika itu (perpaduan diperlukan) bukan sahaja untuk menentang Malayan Union tetapi kerana kesatuan orang Melayu tidak wujud,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Ujian Kemahiran Menembak Ahli Kehormat dan Bersekutu Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) Johor 2015, di Lapang Sasar Bukit Kangkar, Ledang di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah RELA Johor Zaini Jamari dan Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Muar, Azmil Zainal Adnan.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata semangat dan roh UMNO perlu diterjemahkan semula supaya sentiasa relevan pada setiap masa.

“Tiada maknanya sebuah pertubuhan Melayu yang besar tetapi tidak ada kesatuan dan sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-69 esok, seruan Presiden UMNO pertama Datuk Onn Jaafar supaya orang Melayu bersatu, perlu dijadikan azimat,”
katanya.

Sementara itu, Razali yang juga anggota Parlimen Muar berkata kerajaan memperuntukkan RM117 juta pada tahun ini untuk menambah baik pasukan RELA kerana menghargai peranan mereka dalam menjaga keamanan negara.

Katanya kerajaan menyasarkan pertambahan kira-kira 50,000 anggota RELA di seluruh negara tahun ini, bertujuan mengukuhkan lagi peranannya yang sama seperti pasukan keselamatan lain.