Johor Beri RM6 Juta Bantuan Masuk Rumah Kepada Pemilik RMMJ Tahun Ini – MB

JOHOR BAHARU, 9 Mei — Kira-kira RM6 juta daripada RM50 juta Bantuan Masuk Rumah yang disediakan kerajaan negeri, akan diberikan kepada rakyat yang baru berpindah ke Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), tahun ini.

Mengumumkan demikian, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bantuan itu pernah diumumkan ketika pembentangan Bajet negeri tahun lepas sebagai mengurangkan bebanan rakyat membayar deposit air, elektrik dan
sebagainya apabila berpindah.

10982317_843090905777999_8861535669226756925_nBercakap kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan kunci rumah kos rendah dan sederhana rendah Taman Seroja, di sini hari ini.

“Mulai tahun ini mereka yang terima kunci RMMJ akan diberikan bantuan RM1,000 untuk mengurangkan bebanan rakyat membayar deposit air dan elektrik apabila mereka berpindah rumah,” katanya.

Menurutnya, sasaran itu adalah berdasarkan jumlah 5,000 penduduk yang bakal menerima kunci RMMJ bagi tahun ini.

Terdahulu, dalam ucapan, Mohamed Khaled memberitahu, projek rumah kos rendah Taman Seroja itu yang dibangunkan Johor Land Berhad, anak syarikat Johor Corporation (Jcorp,) terdiri daripada 304 rumah pangsa bernilai antara RM35,000 hingga RM80,000 seunit.

“Kos sebenar untuk membina kesemua rumah ini adalah tinggi iaitu RM99,000 bagi rumah kos rendah bernilai RM35,000 dan masing-masing RM113,000 dan RM140,000 untuk rumah kos sederhana rendah bernilai antara RM50,000 serta RM80,000.

“Bagaimanapun, kita telah memberikan sejumlah subsidi bagi membolehkan rakyat memiliki rumah idaman mereka,” jelas beliau.