Kerajaan Negeri Anjur Sukan Muafakat Johor 2015

JOHOR BAHARU, 7 Mei — Kerajaan Johor akan menganjurkan Sukan Muafakat Johor (SMJ) 2015 sebagai usaha menggalakkan rakyat pelbagai kaum melibatkan diri dalam bidang sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan berkata sukan berkenaan merupakan penjenamaan baharu daripada program Karnival Sukan Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) yang dianjurkan sebelum ini.

11114240_1821373558088385_1158720394024431339_n“SMJ 2015 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan di setiap DUN pada bulan ini manakala di peringkat negeri pada bulan depan dengan penglibatan seramai 2,016 belia,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan cek peruntukan kepada setiap DUN sempena SMJ 2015, di sini hari ini.

Zulkurnain berkata SMJ 2015 peringkat negeri hanya melibatkan pasukan terbaik melalui pertandingan SMJ di peringkat DUN.

Beliau berkata penganjuran sukan menerusi Majlis Sukan Negeri Johor itu akan mempertandingkan empat acara iaitu sepak takraw, futsal, bola jaring dan bola keranjang dengan johan keseluruhan menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 dan piala pusingan.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM10,000 kepada setiap DUN bagi menjayakan sukan tersebut dan tambahan RM2,000 akan diberikan kepada DUN sebagai persiapan ke peringkat negeri.

Menurut Zulkurnain, SMJ 2015 merupakan acara tahunan negeri ini yang diberikan nafas baharu oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sukan itu katanya dirancang sebagai pengisian di setiap DUN sekali gus mencapai hasrat kerajaan dalam membentuk masyarakat cergas dan aktif.