RM7.98b pelaburan baharu di Iskandar

JOHOR BAHRU 6 Mei – Iskandar Malaysia menarik RM7.98 bilion pelaburan baharu bagi tiga bulan pertama tahun ini sekali gus menjadikan nilai pelaburan komited terkumpul dari 2006 hingga 31 Mac lalu, berjumlah RM166.10 bilion.

Sektor pembuatan menyumbang RM50.82 bilion, logistik (RM4.81 bilion), penjagaan kesihatan (RM2.65 bilion), pelancongan (RM3.06 bilion), pendidikan (RM1.96 bilion), industri kreatif (RM0.56 bilion) dan perkhidmatan kewangan (RM0.74 bilion).

Selain itu, sektor lain yang menyokong pertumbuhan di Iskandar Malaysia termasuk pembangunan hartanah (RM78.44 bilion), utiliti (RM12.64 bilion), pelaburan kerajaan dalam infrastruktur (RM8.31 bilion) dan teknologi baharu (RM2.12 bilion).

image-5Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, daripada jumlah pelaburan komited terkumpul itu, sejumlah RM78.53 bilion atau 47 peratus adalah merupakan pelaburan yang telah direalisasikan di wilayah tersebut.

Setakat ini ujarnya, pelabur tempatan menyumbang kepada RM102.34 bilion atau 62 peratus jumlah pelaburan komited terkumpul yang diterima di Iskandar Malaysia manakala selebihnya adalah menerusi pelabur asing.

“Iskandar Malaysia diyakini terus menjadi tumpuan pelabur dalam pelbagai sektor baik dari dalam dan luar negara dan kita sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan ke negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pusat Data Synergycloud dan Fasiliti Pengkomputan Cloud yang dibangunkan Puncak Semangat Sdn. Bhd. (Puncak Semangat), Kumpulan Al Bukhary di Terminal Perniagaan Penerbangan Senai di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong; Pengerusi Puncak Semangat, Syed Azmin Syed Nor dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Bersama IRDA. berkata, wilayah berkenaan menerima sokongan pelabur terutamanya dari Singapura, China, Amerika Syarikat, Sepanyol dan Jepun, namun, pelaburan domestik menyumbang kepada keyakinan pelabur tempatan di Iskandar Malaysia.

– Utusan Malaysia