Mesej Sebenar Pengundi Permatang Pauh Ialah Mahu Wakil Rakyat Sepenuh Masa

PERMATANG PAUH, 6  Mei – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata penurunan majoriti di Rompin tidak boleh dijadikan penanda aras pilihanraya kecil di Permatang Pauh memandangkan di kawasan berkenaan wujudnya beberapa perkara khususnya berhubung isu Felda dan GST dan mungkin itu antara penyebab penurunan majoriti di kawasan tersebut.

Tetapi di Permatang Pauh jelas beliau, biarpun turut berdepan dengan isu seperti GST, namun ada beberapa faktor yang lain di mana antaranya ialah BN bukanlah penyandang kerusi di kawasan ini.

“Jadi dalam hal ini, biarpun berdepan dengan isu GST, tetapi mungkin ada harapan pada pengundi Permatang Pauh untuk melihat satu perubahan di kawasan ini dari segi wakil rakyat yang dapat membantu dan membela nasib rakyat di sini dengan sepenuh masa.

DSC_2727_edited

“Mungkin di Rompin mereka sudah biasa dengan khidmat BN dan pengundi di sana ingin menghantar mesej berkenaan isu GST. Tetapi di Permatang Pauh, walaupun berdepan dengan sikit masalah berhubung GST, tetapi rakyat di sini saya yakin mahu menghantar mesej kerana jelas rakyat sebelum ini tidak mendapat perkhidmatan wakil rakyat yang sepenuh masanya di sini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas selesai program ziarah rumah ke rumah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Samagagah di sini hari ini.

Kata beliau lagi, isu di Permatang Pauh adalah soal pemilihan seorang wakil rakyat yang mampu berkhidmat sepenuh masa dan bukannya seorang wakil rakyat separuh masa.

“Isunya di sini ialah kita mahu memberikan pilihan kepada pengundi di Permatang Pauh di mana BN menawarkan calon yang mampu untuk berkhidmat sepenuh masa untuk membantu dan membela nasib rakyat di kawasan ini.

“Kita menawarkan seorang wakil rakyat yang bukan saja mampu untuk berkhidmat sepenuh masa, malah turut mendapat sokongan daripada kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan ini,” jelasnya.

 

Sumber: UMNO-Online