MBFM sokong harga rumah turun

SEGAMAT – Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) menyambut baik keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan harga rumah Projek Generasi Baru Felda (PGBF) di seluruh negara seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu.

Presidennya, Anuar Abdul Manap berkata, pengumuman tersebut memberi harapan baharu khususnya kepada generasi kedua Felda yang mahukan harga asal seunit rumah tersebut sebanyak RM120,000 itu dikurangkan.

image-6“Ini membuktikan Datuk Seri Najib sentiasa mendengar keluhan generasi kedua Felda yang mahukan harga rumah lebih murah dan akhirnya harga seunit rumah PGBF ini diturunkan menjadi RM90,000.

“Tambah menarik, bagi generasi baharu yang tidak berkeupayaan mendapatkan pembiayaan pembelian rumah ini, kerajaan akan menyediakan skim sewa dan beli yang mana mereka dapat menduduki rumah itu selama lima tahun secara sewaan dengan kadar munasabah,” katanya.

Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Badminton Terbuka Parlimen Sekijang di Dewan Kampung Jawa, di sini, semalam.

Menurutnya, penurunan harga rumah PGBF itu juga merupakan antara usaha MBFM melalui satu memorandum khas yang diserahkan kepada Perdana Menteri pada April tahun lalu kerana harga ditawarkan sebelum ini terlalu mahal dan sukar untuk dimiliki.

“Dengan pemilikan harga rumah yang munasabah, saya yakin masalah penggunaan tanah kosong di tanah rancangan dapat diselesaikan secara teratur dan semua pihak mendapat manfaat sekali gus mengelakkan penghijrahan belia.

“Ini merupakan salah satu projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) Felda bagi memenuhi permintaan dan membantu generasi kedua Felda bagi memiliki rumah mampu milik yang selesa dan sempurna,” katanya.

Pada masa sama, sebanyak 150 unit rumah PGBF dan 100 unit rumah projek Sentuhan Kasih Felda (SKF) yang sedang dan akan dibina di Gugusan Felda Pemanis, di sini, dijangka akan memberi nilai tambah dan komersial terhadap tanah rancangan tersebut.

Menurutnya, SKF adalah rumah dibina berkonsepkan sistem binaan industri (IBS) dan berharga RM70,000 seunit dengan ansuran bulanan kira-kira RM360. – Sinar