Hubungan Johor, Brunei lebih erat

JOHOR BAHRU 6 Mei – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menyatakan harapan agar hubungan diplomatik lebih erat dapat dijalinkan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Brunei Darussalam.

Dalam titah baginda, Sultan Ibrahim berhasrat perkara itu dapat diteruskan menerusi program per­tukaran dan peminjaman pe­gawai antara kedua-dua kerajaan sebagaimana yang pernah dilak­sa­nakan dahulu.

image-4“Semoga usaha murni yang dicurahkan ini mendapat keberkatan dan keredaan daripada Allah SWT,” titah baginda ketika merasmikan Seminar Tokoh Antarabangsa Pehin Datu Seri Utama Dr. Ismail Omar Abdul Aziz sempena Kemahkotaan Sultan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin serta Mufti Brunei, Pehin Datu Seri Maharaja Datuk Paduka Seri Setia Dr. Awang Abdul Aziz Juned.

Sultan Ibrahim bertitah, seminar julung kali diadakan berkenaan diharap akan meningkatkan bu­da­ya dan penghayatan agama Is­lam kepada masyarakat dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup yang berpandukan al-Quran dan sunah.

Baginda turut bertitah agar pro­gram itu dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat Islam terus berpegang teguh kepada akidah Ahli Sunah Wal Jamaah sekali gus mengelakkan terjebak da­lam pelbagai fahaman yang me­nye­leweng.

“Seminar ini bukan hanya se­kadar untuk mengenang tokoh yang dibicarakan tetapi lebih kepada jasa dan sumbangan yang telah ditinggalkan sepanjang hayatnya sama ada berkhidmat di Johor atau Brunei.
“Semoga jasa dan sumbangan beliau akan menjadi contoh dan ikutan kepada generasi masa kini untuk mengikut jejak langkah tersebut,” titah baginda.

Seminar dua hari bertemakan ‘Memartabatkan Sumbangan Ula­ma Nusantara’ itu merupakan kerjasama antara Johor dan kerajaan Brunei bagi mendalami jasa dan sumbangan Allahyarham Ismail Omar, anak jati negeri ini yang berkhidmat sebagai Mufti pertama Brunei selama 28 tahun sebelum meninggal dunia pada 1993.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Rengit, Batu Pahat, dipinjamkan kerajaan negeri untuk menjadi Mufti Brunei pada 1962 hingga 1965 sebelum memegang jawatan tersebut secara kontrak bermula 11 Mac 1967 selepas bersara dalam perkhidmatan kerajaan negeri pada 1 Januari 1967.

 

Sumber: Utusan Malaysia