Penangkapan 13 Individu Disyaki Militan Bukti POTA Relevan, Pentingnya Keselamatan Negara

ROMPIN, 1 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, keberhasilan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 13 individu yang dipercayai dalam persiapan untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS), di Shah Alam baru-baru ini membuktikan bahawa Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) adalah sesuatu yang relevan bagi menjamin negara ini kekal selamat dan aman.

Jelas beliau, undang-undang itu bersifat pencegahan dan secara amnya undang-undang dalam kehidupan adalah untuk memandu ke arah kerukunan kehidupan agar tersusun secara tertib. Begitu juga dengan rang undang-undang POTA, sekiranya tidak digunakan ianya tetap diperlukan bagi mengekang gerakan-gerakan militan.

“Undang-undang itu sangat diperlukan disebabkan kita tidak ada lagi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Negara. Untuk mengunakan undang-udang biasa dengan tahanan reman biasa bagi kes-kes berprofil tinggi sudah tentu tidak sesuai kerana ianya memerlukan tempoh siasatan yang lebih lama.

militan-isis-is-ditangkap-ditahan-polis-malaysia

“Dengan adanya undang-undang seperti POTA maka kita dapat mencegah sesuatu perkara buruk itu dari berlaku,” ujarnya dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online.

Selain itu beliau turut menyelar tindakan mereka yang membantah pelaksanaan atau mempolitikkan akta tersebut. Baginya, apabila sesuatu itu menjurus kepada keselamatan Negara maka ianya tidak ada kompromi mahupun dipolitikkan.

“Bagi saya mereka yang ingin melanggar kerukunan dalam negara sangat tidak mahukan ISA ataupun POTA sedangkan akta tersebut sangat diperlukan dalam negara kita. Akta seperti ini bukan satu perkara baru tetapi banyak negara lain mempunyai undang-undang seperti ini yang hampir serupa.

“Jika mereka mempertikaikan pelaksanaan POTA akan wujudnya penyalahgunaan kuasa maka mereka harus sedar, undang-undang yang sangat baikpun tetapi jika masih sikap dan perangai menguna kuasa secara salah ia tetap akan timbulkan kemarahan. Ini bukanlah soal undang-undang tetapi soal manusia itu sendiri.

“Maka saya menyeru kepada seluruh rakyat untuk sama-sama menyokong undang-undang pencegahan ini dan memberikan sokongan kepada pihak berkuasa serta jangan menimbulkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kemarahan rakyat tanpa sebab. Yang penting adalah kita dapat hidup secara aman dan damai,” katanya.

Razali turut menjelaskan undang-undang POTA ini adalah satu langkah yang proaktif dan jika tidak dilaksanakan sudah pasti kerajaan juga yang dipersalahkan pada masa hadapan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini yang boleh menggugat keselamatan mahupun keamanan Negara.

Justeru itu beliau menyifatkan sesiapa yang mempolitik dan menentang pelaksanaan undang-undang demi kebaikan Negara ini bolehlah digambarkan sebagai pengganas atau individu itu terlibat dengan pengganas.

“Saya tidak menuduh tetapi sebagai contoh siapa yang tidak suka dengan akta najis dadah adalah kerana dia nak ambil dadah. Orang yang tidak suka dengan undang-undang lalulintas 110 km/j had laju sebab mereka nak bawa laju.

“Sama seperti POTA, jika kita tidak terlibat maka kita tidak perlu takut dan majoriti rakyat sebenarnya tidak terlibatpun dengan akta ini. Tetapi apabila kita dikelirukan maka ramai yang akan menyokong kumpulan-kumpulan tidak bertanggungjawab ini seolah-olah akta itu akan menyekat hak kebebasan rakyat,”terang Razali.

Akhirnya Razali menegaskan bahawa kebebasan yang diperjuangkan tidak menjamin keamanan Negara tetapi keamanan Negara boleh memberi jaminan rakyat hidup bebas.

 

Sumber: UMNO-Online