Johor kuat kuasa PSSA

JOHOR BAHRU 25 April – Johor akan menjadi negeri pertama di Asia Tenggara yang menguatkuasakan peraturan Penentuan Wilayah Laut Sensentif (PSSA) ke atas 24,747 hektar hutan bakau di Pontian apabila diwartakan awal tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kawasan yang terlibat dalam PSSA adalah sepanjang perairan Pulau Kukup sehingga ke Tanjung Piai yang kini terjejas akibat hakisan yang disebabkan aktiviti sosial khususnya kegiatan perkapalan.

imageMenurutnya, satu kajian sedang dijalankan oleh Perbadanan Taman Negara Johor dan Jabatan Laut tentang perkara itu melibatkan kos RM200,000 yang ditanggung kerajaan negeri.

“Kajian itu meliputi aspek pencemaran air, pembuangan sisa makanan dan aktiviti sosial. Jarak kapal yang berlabuh di perairan terbabit tidak boleh kurang dari tiga batu nautika dari paya bakau dan turut dipantau tahap kelajuan yang dibenarkan apabila melalui perairan tersebut.

“Setelah kajian siap, laporan itu akan dibentangkan ke Sekretariat Organisasi Maritim Antarabangsa (IMO) di Singapura dan kemudian dibawa ke ibu pejabat IMO di London untuk diwartakan dan dikuatkuasakan,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2015 peringkat negeri bertemakan Wetlands For Our Future di Zoo Johor, di sini hari ini.

Yang turt hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat; Pengerusi Jawatankausa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Mohammed Shakib Ali.

Menteri Besar berkata, bagi memastikan sistem ekologi dan tanah lembab di kedua-dua kawasan tersebut terus terpelihara, pihaknya akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memantau penguatkuasaan perairan tersebut yang melibatkan 10 agensi penguatkuasaan berkaitan dan kerajaan negeri berharap perkara itu dapat dikuatkuasakan mulai Januari tahun depan.
Dalam tempoh setahun, katanya, hutan bakau di negeri ini mengalami hakisan antara lapan hingga 12 meter yang menjejaskan pokok bakau.

Beliau memberitahu, kira-kira 10,000 kapal dagang melalui perairan itu dan sebelum memasuki perairan Singapura serta pedagang melakukan aktiviti mencuci kapal dan membuang sisa kapal serta sisa buangan makanan ke laut yang menyebabkan sampah mencemari ke­dua-dua kawasan tersebut.

“Taman Negara Tanjung Piai me­rupakan kawasan menerima hakisan paling teruk. Tidak cukup dengan pendekatan undang-undang, kita turut bangunkan prasarana untuk menangani hakisan pesisiran pantai.

“Menjelang awal tahun depan, sepanjang 800 meter pemecah ombak, 550 meter benteng batu dan 5,700 meter peninggian benteng dibina untuk atasi hakisan di pesisiran pantai di kedua-dua kawasan tersebut,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, hingga kini 11 negara mewartakan dan menguatkuasakan PPSA antaranya Australia, Cuba, Colombia, Belanda, Jerman, Peru, Poland dan Belgium.