Jadikan Johor ‘KL kedua’

KOTA TINGGI 28 April – Kerajaan negeri bertekad untuk menjadikan Johor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi paling pesat di negara ini, apatah lagi berada di kedudukan yang amat strategik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor harus menjadi ‘Kuala Lumpur kedua’ dan yakin menjadi pilihan para pelabur kerana terletak di lokasi yang baik.

image-3“Selain bersebelahan dengan negara maju Singapura dan berjiran dengan negeri Melaka yang sedang pesat membangun, Johor juga mempunyai pelabuhan moden dan prasarana yang baik, kelas pertengahan yang besar serta kesepaduan masyarakat majmuknya.

“Apa yang paling penting, Johor mempunyai industri kecil dan sederhana (IKS) yang membangun dan golongan usahawan yang berdaya saing,” katanya semasa melancarkan Program Pembangunan Usahawan Bumiputera anjuran bersama PIJ Holdings Sdn. Bhd., dan Perisind Samudra Sdn. Bhd., di Bandar Penawar, dekat sini kelmarin.

Yang turut dihadir, Ahli Perlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim; Pengarah Urusan PIJ Holdings, Rozan Mohd. Saat dan Ketua Pegawai Eksekutif Perisind Samudra, Mohd. Shafiee Mohd. Sanip.

Pada majlis itu Mohamed Khaled turut menyampaikan sijil kepada 20 usahawan serta menerima bayaran komitmen RM1 juta kepada kerajaan negeri daripada Perisind Samudra.

Menteri Besar juga melancarkan projek penempatan sementara eksekutif, Lakeview Terrace, iaitu projek khidmat sokongan kepada pembangunan di kawasan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Pengerang.
Beliau berkata, program pembangunan usahawan itu bertujuan membantu golongan usahawan tempatan yang baharu berkecimpung untuk memulakan operasi perniagaan masing-masing.

Menurutnya, sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pelaksanaan dalam tempoh dua tahun untuk membangunkan 40 inkubator usahawan atau ruang pejabat kecil di atas tanah seluas 0.4 hektar di Pengerang.