Boleh Lulus Segera: MB Kerajaan Negeri Teruskan Dasar Yang Beri Manfaat – MB

JOHOR BAHRU 27 April – Kerajaan negeri akan meneruskan polisi meluluskan segera pelan pembangunan, terutamanya melibatkan pembinaan sekolah baharu seperti yang diamalkan sejak sekian lama.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan tersebut diteruskan kerana kerajaan negeri mahu pertumbuhan modal insan negeri ini berjalan lancar, sekali gus berjaya dalam persaingan di peringkat global.

image-1Beliau berkata, kerajaan negeri akan membantu pembinaan sekolah baharu terutama dari segi keperluan tanah, kelulusan pihak berkuasa tempatan dan cukai, manakala peruntukan, guru dan kokurikulum sekolah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan.

“Saya percaya sebagai asasnya memang dah diamalkan dan sebaik mungkin kita cuba mempercepatkan prosesnya. Kita tidak mahu menjadi penghalang bagi pembangunan, terutamanya projek yang dibangunkan untuk orang ramai.

“Kita terus beri perhatian usaha penyediaan sekolah bagi memba­ngunkan modal insan rakyat berbilang kaum,” katanya selepas merasmikan Majlis Menanam Cerucuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Hwa 2 di Permas Jaya, di sini semalam.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Mohamed Khaled berkata, usaha tersebut juga bagi memastikan rak­yat negeri ini merupakan sebahagian daripada modal insan yang menyum­bang bakat untuk negara dalam usaha menjadikan Malaysia berjaya dan bersaing di peringkat global.
Pada masa sama, beliau turut me­nyeru syarikat swasta untuk me­mainkan peranan menerusi tang­gungjawab sosial korporat, terutamanya membantu kerajaan menyediakan sekolah serta peluang pendidikan kepada masyarakat.

Sementara itu, Ka Siong memuji usaha yang dilakukan kerajaan negeri yang bersedia memberikan kelulusan segera bagi pembangunan sekolah baharu untuk kegunaan masyarakat setempat, tidak seperti yang diamalkan negeri-negeri lain.

“Dalam tempoh enam bulan, kita akan mendapat KM (kebenaran merancang), pelan bangunan dan sijil layak menduduki (CF). Itu adalah satu rekod Johor dan jika di negeri lain sebagai contoh Selangor mengambil masa lebih setahun bagi mendapatkan KM,” katanya.