Muhyiddin Ingatkan Peneroka Felda Jangan Terpengaruh Dakyah Pembangkang

ROMPIN, 26 April – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan peneroka Felda supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mendakwa kerajaan gagal mempertahankan hak mereka.

Beliau menyifatkan tuduhan pembangkang itu tidak berasas dan hanya bertujuan meraih simpati politik dalam kalangan pengundi masyarakat Felda di kawasan Parlimen Rompin.

“Mereka nak raih simpati politik dengan buat tuduhan tak berasas bahawa kerajaan gagal dan tidak pertahankan hak milik peneroka menyebabkan masyarakat Felda kerugian.

“Ini tuduhan politik melampau dan malangnya juga dilakukan oleh anak peneroka Felda yang termakan dengan dakyah tersebut,” katanya ketika merasmikan Dewan Semai Bakti Felda Keratong di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad

Rompin, 26 April--Timbalan Perdana Menteri merangkap Timb. Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan calon Barisan Nasional Piliharaya Kecil P091 Rompin, Datuk Hasan Arifin bersalaman dengan orang ramai ketika hadir dalam Majlis Perasmian Dewan Semai Bakti di Felda Keratong 6 di sini tengahari ini. - Foto : MediaUMNO

Majlis itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Ketua Penyelaras Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan calon BN Datuk Hasan Arifin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, turut memberi jaminan bahawa selagi BN berkuasa, nasib peneroka Felda akan terus terjamin dan diberi pembelaan sewajarnya dalam soal pembangunan, pendidikan dan ekonomi.

“Felda sejarahnya bermula sewaktu Almarhum Tun Abdul Razak hendak membantu rakyat atasi masalah kemiskinan dan salah satu pendekatan yang diambil ialah pengagihan kawasan tanah yang boleh dimajukan supaya peserta dapat jaminan masa depan lebih sempurna.

“Namun ia sudah menjadi sejarah, kini banyak kawasan Felda jadi pusat pertumbuhan baharu dengan kehidupan lebih baik jika dibandingkan masa mula-mula ia dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata bermula dengan rumah kayu, rumah peneroka Felda kini bertambah baik dengan pembinaan rumah batu.

“Rumah dahulu mungkin sebilik dua, namun kini semakin bertambah dan apabila Hari Raya kita lihat banyak kenderaan di hadapan rumah. Ini menunjukkan masyarakat peneroka menikmati banyak kemudahan dan hidup dengan selesa,” katanya.