Datuk Hasan Tekad Jayakan Asas Pembangunan Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Di Rompin

ROMPIN, 24 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, Datuk Hasan Arifin bukan sahaja berhasrat untuk meneruskan asas yang telah diletakkan oleh Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, malah mempunyai misi serta perancangan yang tersendiri dalam usaha melonjakkan lagi Parlimen Rompin ke tahap yang tinggi.

Dengan pelbagai idea yang keseluruhannya untuk manfaat penduduk setempat, 5 April ini bakal menentukan apakah segala visinya itu akan dapat direalisasikan setelah pengundi bakal membuat pilihan siapakah pengganti kepada Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis daripada BN.

UMNO-Online berkesempatan menembual Datuk Hasan Arifin secara ekslusif selepas sehari beliau memulakan kempennya. Walaupun masa yang terhad, beberapa perancangan dilontarkan dan ikuti temubual bersama beliau yang diadakan di Pejabat UMNO bahagian Rompin.

Beramah Mesra

UMNO-Online :Tahniah Datuk setelah terpilih sebagai calon mewakili BN pada PRK kali ini. Tentunya PRK ini, umumnya akan melihat BN berada pada kedudukan selesa dengan majoriti dahulu 15,00 lebih. Bagaimana Datuk melihat senario ini.

Datuk Hasan :Kemenangan dulu agak selesa…jadi insya-Allah kita akan terus bekerja keras untuk memastikan kemenangan dengan majoriti ditingkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan majoriti yang dahulu.

Dan keduanya jangan ambil mudah…kalau berangapan bahawa kita boleh menang…jadi penyokong kita sendiri tak nak keluar mengundi dan jentera ambil mudah…ini yang kita nak elakkan.

UMNO-Online : Baaimana pula dengan isu-isu yang dilontarkan di sini oleh pihak lawan.

Datuk Hasan : Saya nampak isu nasional lebih dominan seperti isu GST dan sebagainya lagi. Isu tempatan sikit-sikit. Jadi kita akan mempermudahkan penerangan kepada pengundi dalam isu-isu yang dibangkitkan itu bagi mengelakkan kekeliruan.

Saya lebih cenderung kepada jumpa pengundi. Jumpa di gerai dan sebagainya. Kita adakan kunjungan di tempat ramai pengundi di samping adakan ceramah-ceramah secara berkelompok dalam jumlah yang kecil dan sederhana. Kempen lebih secara bersemuka.

UMNO-Online : Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis tentunya telah meletakkan Rompin sebagai satu kawasan yang sedang meningkat membangun baik dari sudut ekonomi dan sebagainya. Bagaimana Datuk melihat perkara ini.

Datuk Hasan : Betul…Asasnya dah ada… Ahli Parlimen sebelum ini, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin telah letakkan asas yang agak kuat dari sudut pembangunan di sini. Saya hanya meneruskan dan cuba untuk mempertingkatkan lagi usaha-usaha pembangunan di sini. Terbaru ECER sudah pun melaksanakan pertanian dengan penanaman nenas dan insya-Allah sampai ke tahap untuk mengetin.

Rompin dekat di hati saya. Saya nak jadikan Rompin sebagai kawasan pertanian moden. Keduanya meningkatkan industri pertanian yang berkualiti tinggi. Ketiga menjadikan jelapang padi di daerah Rompin ini mengeluarkan hasil tanaman yang tinggi dari segi tan…kalau sekarang 4-5 tan satu hari nanti sehingga 10 tan untuk satu hektar. Keempat meningkatkan lagi lonjakan industri pelancongan yang berpotensi ke arah yang besar.

Dari sudut infrastruktur dan sebagainya kita berpuas hati. Namun masih ada ruang yang boleh kita teruskan khususnya dalam meningkatkan lagi ekonomi penduduk setempat. Ini antara yang kita nampak terutama di kawasan belah pantai.

Kita boleh lakukan umpamanya menggalakan industri kecil dan sederhana yang berorientasikan ‘labour intensive’ (intensif buruh).

Lagi satu saya nak tekankan industri pelancongan. Rompin mempunyai industri yang besar dari sudut pelancongan dan sekarang pun dah ada satu dua produk pelancongan seperti ikan layar yang dijadikan program tahunan.

Keduanya Tioman sendiri dah terkenal. Sekarang kita nak cuba promosikan Tioman dan Taman Negara Endau Rompin sebagai destinasi pelancongan penting bagi daerah Rompin ini yang boleh menjana kegiatan ekonomi.

Pertanian pastinya merupakan asas penting dalam pembangunan ekonomi dan kita juga akan cuba berusaha untuk menjadikan Rompin sebagai pengeluar bahan-bahan pertanian Negara. Rompin dah berpuluh tahun terkenal dengan tembikai tanpa biji yang diasaskan oleh orang-orang Rompin.

Pembangunan secara menyeluruh juga akan diberi tumpuan baik masyarakat orang asli dan juga masyarakat Felda dan sebagainya lagi. Sistem solar contohnya akan siap tidak lama lagi untuk kemudahan masyarakat orang asli seperti di Kundang, Jemeri dan sebagainya lagi.

UMNO-Online : Bagaimana pula dalam soal pendidikan.

Datuk Hasan : Yang menariknya di sini, Muadzam Shah ada dua institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Politeknik. Insya-Allah, kita akan cuba untuk menarik satu institusi penting iaitu UiTM kalau boleh iaitu di kawasan Kuala Rompin. Itu antara agenda besar kita dan akan diperhalusi sebaik mungkin. Begitu juga dalam prospek lain bagi sektor ini khususnya anak-anak kita di sini.

UMNO-Online : Apa harapan Datuk kepada pengundi di sini khususnya pada hari membuang undi iaitu 5 April nanti.

Datuk Hasan : Insya-Allah jika diberi kepercayaan sudah pasti hasrat saya adalah untuk berkhidmat di Daerah Rompin ini. Seperti yang saya katakan tadi Rompin cukup dekat di hati saya. Sebelum ini pun tak jadi wakil rakyat saya masih berkhidmat kepada masyarakat setempat. Jika diberi kepercayaan, insya-Allah saya boleh lonjakkan lagi perkhidmatan untuk masyarakat di Daerah Rompin.

Akhir kalam, saya merayulah kepada pengundi agar memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat di sini dan insya-Alllah jika diberi kepercayaan saya tidak akan mengabaikan dan tidak akan sia-siakan serta tidak akan kecewakan pengundi dengan memberikan perkhidmatan sebaik mungkin untuk pembangunan ekonomi, sosial dan sebagainya di sini. Selamat mengundi.

 

Sumber : UMNO-Online