Senario Politik Berbeza Beri Peluang BN Buat Kejutan Di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM, 24 April – Senario politik yang berbeza ketika ini merupakan peluang terbaik kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesedaran baharu telah timbul dalam kalangan para pengundi di Permatang Pauh, dan peluang ini perlu digunakan BN untuk memenangi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei.

DSC_8739SLIDER-e1429875499758“Saya fikir ini peluang terbaik pengundi di Permatang Pauh (untuk buat perubahan). Jentera BN perlu tumpu usaha untuk memenangi PRK kali ini.

“Kita akan lakukan kejutan bukan hanya bagi landskap peta sejarah baharu di Permatang Pauh tetapi beri perubahan landskap politik di Pulau Pinang dan negara. Kita boleh menang dengan kemenangan mutlak,” katanya selepas melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Wanita BN Permatang Pauh di Politeknik Permatang Pauh di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh Suhaimi Sabudin, yang dicalonkan mewakili BN bagi PRK Parlimen Permatang Pauh.

Ahmad Zahid berkata selain itu, ada tiga faktor lagi yang mampu membantu BN untuk memenangi PRK kerusi Permatang Pauh iaitu faktor calon, jentera BN dan perpaduan.

“Suhaimi adalah calon yang ada personaliti yang baik dan orang politik yang ada latar belakang akademik dan pengalaman politik serta hubungan kemanusiaan… antara yang baik. Jika diberi peluang untuk mewakili BN, beliau mampu terjemah kepada perkhidmatan terbaik untuk penduduk Permatang Pauh,” katanya.

Bagi jentera pilihan raya BN, Ahmad Zahid berkata ia berada dalam keadaan tersusun selain tidak lagi menggunakan pendekatan lama.

“Saya lihat hubungan baik antara ketua bahagian dengan perhubungan negeri terutama pergerakan Wanita. Mereka akan dapat raih kepercayaan hati dan minda pengundi. Jentera-jentera, saya yakin akan kerja sepenuh masa bukan hanya meraih sokongan tetapi juga untuk membantu pengundi di Permatang Pauh,” katanya.

Katanya perpaduan di kalangan parti komponen BN di Parlimen Permatang Pauh dan Pulau Pinang begitu baik berbanding sebelum ini, yang bukan hanya melibatkan pimpinan tertinggi tetapi juga peringkat pertengahan dan akar umbi.