Klinik, hospital kerajaan jadi tumpuan

LEDANG 24 April – Bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan di negeri ini kini bertambah kerana bayaran di klinik swasta meningkat berikutan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, kos bayaran perubatan klinik swasta semakin mahal dan perkembangan itu mengakibatkan lebih ramai mendapatkan perkhidmatan kesihatan disediakan kerajaan dengan kadar bayaran RM1.

image-1“Kalau dahulu untuk rawatan ringan pesakit di klinik-klinik persendirian hanya RM20 hingga RM35 tetapi sekarang RM50 ke atas. Mereka sekarang pergi ke klinik dan hospital kerajaan tetapi apabila sesak, mereka merungut dan tidak berpuas hati.

“Ini cabaran yang kita hadapi. Kita telah cuba (berikan perkhidmatan) yang terbaik,” katanya ketika berucap selepas Majlis Tamat Latihan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Program Penempatan Wajib Johor Sesi 2/14 di Gunung Ledang Resort di sini semalam.

Pada majlis itu, Ayub dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ezam Suleiman diiringi Pegawai Kesihatan daerah, Dr. Zaharah Mohd. Salleh menyampaikan sijil tamat latihan kepada 33 PPP yang bakal ditempatkan di empat hospital di negeri ini.

Ayub berkata, kadangkala terdapat pesakit yang turut berdepan situasi yang sama di klinik swasta apabila terpaksa menunggu serta bersesak tetapi tidak bersungut namun berbuat demikian semasa di klinik kerajaan.

Sementara dalam sidang akhbar selepas itu, beliau berkata, melalui bancian dilakukan pihaknya mendapati tahap kepuasan orang ramai terhadap perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan mencapai kira-kira 90 peratus.

“Memang kita akui masih tidak sempurna. Mungkin kadar 10 peratus itu akibat kekangan dan kelemahan kita (banyak faktor yang menyumbang antaranya) kakitanga dibebani syif kerja dan tidak cukup kakitangan. Kita akan cuba atasi masalah ini,” ujarnya.

Mengenai aduan menyatakan kakitangan hospital yang terlalu lambat memberikan rawatan dalam kes-kes kecemasan, Ayub berkata, kes-kes tersebut terpencil tetapi pihaknya akan mengambil perhatian serius isu berkenaan.