Jumlah sampah ?Johor kritikal

JOHOR BAHRU 24 April – Pembuangan sampah di negeri ini mencapai tahap kritikal dengan sebanyak 3,500 hingga 4,000 tan sampah dikutip dalam tempoh sehari dan 1,800 tan daripadanya datang dari bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi berkata, jumlah itu terus mening­kat dan sekiranya ia berlarutan akan menyebabkan jangka hayat pusat pelupusan sampah sedia ada tidak akan bertahan lama.

image-2“Kaedah yang perlu dilakukan bagi memastikan jangka hayat pusat pelupusan sampah bertahan lama ialah dengan mengasingkan sampah buangan bagi memudahkan kerja-kerja kitar semula dilakukan sekali gus menjaga kebersihan dan kelestarian bandar.

“Sebab itu kita mengadakan program Johor Bersih dan Lestari. Kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta kepada pihak berkuasa tempat­an untuk bergerak secara bersama untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat selain menjalankan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17 Persatuan Kontraktor-Kontraktor Bumiputera Perkhidmatan Pembersihan dan Pelupusan Sisa Pepejal Negeri Johor (Perkon Johor) di sini, baru-baru ini.

Abd. Latiff berkata, pendekatan sama turut dilakukan di negara maju itu perlu dicontohi dengan menguruskan sampah sendiri atau berdepan tindakan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Akta 672).

Menurut beliau, Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Ayub Rahmat untuk menjayakan program Johor Bersih dan Lestari.

“Sekiranya kita meningkatkan projek kitar semula, perlu ada insinerator kerana ia adalah penyelesaiannya. Iskandar Malaysia juga perlu ada insinerator dan kajian juga telah dibuat, cuma tidak pasti bila akan dibuat.

“Sementara itu, bagi projek pembinaan insinerator di Bukit Payong, Batu Pahat, tender telah dikeluarkan dan mungkin akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mempertimbangkan syarikat yang akan menggerakkan projek tersebut,” katanya.