PRK Rompin: Persaingan Dua Anak Tempatan Rebut Kerusi Parlimen

ROMPIN, 22 April – Dua anak tempatan, masing-masing mewakili Barisan Nasional (BN) dan PAS, bersaing untuk meraih kepercayaan 53,294 pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang akan diadakan pada 5 Mei ini.

Pemangku Ketua UMNO bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin, mewakili BN, dan muka baharu daripada PAS, Nazri Ahmaf, disahkan layak bertanding untuk mengisi kerusi Parlimen Rompin yang kosong berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter pada 4 April lalu.

DSC_2316slider-e1429669429833Kedua-dua mereka disahkan layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla Salleh selepas selesai proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Hasan, 62, anak kelahiran Kampung Ayau, Leban Chondong di sini, bukan nama asing di kalangan penduduk Parlimen Rompin, kerana pernah menjadi Anggota Dewan Undangan kawasan Tioman dan Bukit Ibam, yang merupakan antara tiga DUN di bawah Parlimen Rompin, selama empat penggal bermula 1990.

Selain itu, beliau pernah menjadi exco kerajaan negeri Pahang dan timbalan menteri besar Pahang dari 1995 hingga 1999.

Lulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya ini mula melibatkan diri dalam politik apabila menyertai UMNO pada 1976, dan dua tahun kemudian dipilih sebagai Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan selain pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Pekan pada 1984.

Pada 1986, beliau memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Rompin dan pada 1990 pula dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Rompin sehingga 2004.