#UMNO69Tahun: Perkukuh Sayap Pemuda Berlandaskan Ideologi Progresif

JOHOR BAHRU, 21 April: Kepimpinan Pergerakan Pemuda di semua peringkat diajak agar sama sama memperkukuhkan sayap pemuda berlandaskan idelogi progresif.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Johor Bahru, Syaiful Rizal Abd Ghani berkata, bagi melengkapkan peremajaan UMNO, pemimpin dan ahli Pemuda perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju pemikiran di dalam masyarakat.

Epul-02“Garap idealisme orang muda. Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam parti, kita wajar menjadi pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti apa lagi diperkotak katikkan oleh pihak pembangkang” ujarnya mengulas peranan yang harus dimainkan pergerakan Pemuda sempena Ulangtahun Kelahiran UMNO ke 69 tahun, 11 Mei ini.

Sehubungan dengan itu, bagi menjadikan hubungan intim parti dan pemimpin pergerakan Pemuda UMNO di semua peringkat perlu menyemarakan semangat kesukarelawan melalui program program bersama rakyat

“ Pemuda bukan sahaja perlu menjadi juara kepada rakyat, tapi perlu berada di hadapan dalam menangani segala bentuk tomahan dan fitnah yang dilakukan oleh parti lawan dalam usaha mereka meracuni pemikiran rakyat untuk melihat kehancuran parti Umno dan Barisan Nasional” tambahnya.

Beliau berharap PemudaUMNO akan dapat membudayakan semangat berkerja berpasukan bagi memastikan kemantapan UMNO khususnya di kawasan Parlimen Johor Bahru. Sokongan padu ahli di peringkat akar umbi harus menyedarkan kita begitu besarnya amanah dan tanggungjawab yang diberikan yang membuktikan ahli akar umbi menyokong agenda progresif dan politik bermuafakat yang menjadi falsafah pemimpin UMNO hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, ahli Pemuda harus menghayati dan menginsafi sejarah perjuangan UMNO yang membebaskan Negara dari belenggu penjajahan sehingga mencapai kemerdekaan dan terus mengorek langkah sebagai sebuah Negara yang maju aman dan makmur.

“Kita perlu ada semangat patriotik dalam meneruskan legasi yang diterokai oleh UMNO dan sebagai pemimpin pelapis kita perlu mempertahankan apa yang kita miliki ketika ini kekal untuk selamanya” tegasnya.