Tolak Syor Keluar Simpanan KWSP Pada Usia 60 Tahun – Norshida

SEGAMAT, 20 April – Ahli Dewan Undangan Buloh Kasap, Hajah Norshida Ibrahim menolak cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya kepada usia 60 tahun.

Ujarnya, cadangan KWSP tersebut adalah cadangan yang tidak relevan memandangkan alasan KWSP bahawa cadangan tersebut untuk memastikan pencarum mempunyai lebih banyak simpanan untuk perbelanjaan selepas berpencen adalah alasan yang tidak rasional.

“KWSP sepatutnya menghormati dan lebih melihat kepada kebajikan pencarum-pencarum kerana kita semua tahu wang simpanan itu hak mereka.

Norshida-01Selain itu, ramai dalam kalangan pencarum juga memerlukan perbelanjaan perubatan dan ada juga pencarum yang mahu menunaikan ibadah haji dan umrah selain mungkin ramai dalam kalangan pencarum memerlukan duit itu untuk membiayai pengajian anak-anak.

Isu bahawa pencarum tidak pandai menguruskan wang tersebut, saya kira tidak perlu timbul kerana itu adalah wang yang mereka carum selama mereka bekerja dan menjadi hak mereka,” ujarnya.

Tambahnya, satu perkara yang perlu diteliti oleh KWSP ialah jika ada pekerja ingin bersara awal, adakah mereka terpaksa menunggu hampir 5 tahun untuk mendapatkan simpanan mereka.

“Sepatutnya pihak KWSP meneliti semua aspek dan mengambil kira impkikasi selepas pekerja itu bersara awal.

Pihak KWSP sebenarnya boleh menetapkan cadangan sama ada ahli pencarum KWSP boleh memilih untuk mengeluarkan simpanan mereka semasa berumur 55 tahun ataupun 60 tahun bukannya KWSP terus mematikan pengeluaran hanya ketika berumur 60 tahun.

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu tentunya pekerja yang bersara awal tidak mampu menampung kos sara hidup hanya dengan mengharapkan duit bulanan pencen sahaja,” tambahnya.

Mereka mungkin mahu membuat modal pemulaan perniagaan kecil-kecilan dengan wang simpanan mereka. Kita semua tahu pinjaman bank sangat ketat untuk memulakan sesebuah perniagaan dan kita perlu mendidik mereka untuk tidak meminjam jika mahu membuat sesuatu perkara.

“Saya berharap pihak Kerajaan dan KWSP sendiri perlu menilai dan mengkaji sebaik-baiknya dalam membuat sesuatu keputusan dan cadangan pengeluaran di umur 60 tahun ini sangat tidak rasional dan membebankan ahli pencarum kerana ini merupakan soal kelangsungan hidup mereka,” ujarnya lagi.