Perkukuh & Tingkatkan Keupayaan Parti Membela Rakyat – Hahasrin

JOHOR BAHRU, 21 April – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Hahasrin Hashim mengajak ahli-ahli UMNO dari segenap lapisan khususnya ahli-ahli Pemuda UMNO untuk menjadikan ulangtahun UMNO yang ke-69 pada tahun ini dengan memperkukuh serta meningkatkan keupayaan parti sebagai pembela masyarakat

Ujarnya, segala pergeseran yang timbul apabila masing-masing sibuk menjaga kebajikan rakyat, ianya perlulah diketepikan dan ditumpukan kepada kerja-kerja yang kita ada sekarang.

“Jadi apabila ini dilakukan rakyat akan nampak perpaduan yang ada pada UMNO dan mereka juga akan nampak kesungguhan kita dan sekaligus memperkukuhkan lagi kekuatan parti.

HahasrinKesatuan bukan sahaja perlu dipertahankan malah perlu diperkukuhkan. Inilah harapan saya dan Pemuda UMNO negeri Johor,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara.

Tambahnya, roh perjuangan UMNO bukan sahaja perlu diperkukuhkan sekadar di akar umbi, bahagian dan negeri malah yang penting ianya harus datang daripada peringkat nasional agar ia dapat dirasai oleh semua.

“Kita jangkakan akan ada banyak cabaran selepas ini, cabaran yang datang bukan sahaja daripada luar UMNO tetapi juga daripada dalaman parti kita sendiri.

“Kita tahu bahawa musuh luar kita boleh kenalpasti tetapi musuh dalaman agak sukar. Ini menjadi kekhuatiran kepada saya… menggunakan senjata yang kita ada untuk membunuh sesama sendiri.

“Dalam hal inilah kita harus melakukan muhasabah dan membedah diri. Oleh yang demikian perkaderan penting bukan hanya sekadar memberikan penjenamaan atau melihat dari segi membaluti semula UMNO ini dengan pelbagai jenama yang muluk dan indah tetapi yang penting adalah bagaimana pengisian dapat dilakukan dan 68 tahun adalah merupakan pengalaman yang panjang,” ujarnya lagi.