HFMD bukan punca kematian murid SJKC Chien Chi

JOHOR BAHRU 19 April – Kematian murid tahun satu dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chien Chi, Plentong di sini bukan disebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ini disahkan menerusi keputusan ujian sampel darah yang dikeluarkan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.

image“Keputusan sampel mendapati ia positif enterovirus namun bukan pada kadar peratusan yang kuat dan berbahaya. Ada faktor-faktor lain yang menyebabkan kematian mangsa.

“Sehubungan itu, kita kena te­ngok apakah sebabnya. Adakah di­sebabkan komplikasi jangkitan lain, mungkin sebelum itu mangsa makan ubat lain dan perkara lain,” katanya selepas menghadiri Program Johor Bersih dan Lestari di Taman Pelangi Indah di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan murid terbabit, Goh Sze San meninggal dunia dipercayai akibat HFMD pada 10 April lalu selepas dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini berikutan keadaan mangsa yang tenat akibat demam selama lima hari.

Ayub berkata, sampel darah kakak mangsa yang merupakan murid tahun lima sekolah sama bagaimanapun disahkan negatif HFMD.

Beliau berkata, sampel darah 12 pelajar dari sekolah sama dan beberapa sampel yang diambil dari lima buah sekolah termasuk satu tadika berdekatan turut dihantar untuk dianalisa dan keputusannya juga adalah negatif.

Justeru, beliau berharap semua pihak termasuk pihak pengurusan sekolah dapat meningkatkan aspek kebersihan di kawasan masing-masing.