Badan Bertindak Kebersihan Diwujud

JOHOR BAHRU 19 April – Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah Badan Bertindak Kebersihan bagi memastikan setiap pelan serta agenda tindakan kebersihan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, badan bertindak yang dipengerusikan oleh beliau sendiri itu akan dibantu Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat.

image“Pegawai-pegawai Daerah pula akan mempengerusikan task Force (badan bertindak) ini di peringkat daerah. Task force akan bertemu setiap dua bulan bagi memastikan tahap kebersihan, momentum penguatkuasaan serta keberkesanan kempen kebersihan berjalan seperti yang direncanakan.

“Perancangan sebegini penting kerana kerajaan negeri mahu setiap pelan tindakan dijalankan berlandaskan Indeks Prestasi Utama (KPI) semua pihak yang terlibat dan membuahkan kejayaan,” katanya ketika berucap pada program Johor Bersih dan Lestari di Taman Pelangi Indah, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, Johor Bersih dan Lestari bukan hanya tanggungjawab kerajaan negeri dan rakyat harus membuang persepsi yang mengatakan ia program melibatkan kerajaan semata-mata kera­na ia digerakkan bersama pengli­batan segenap lapisan.

Tambah beliau, kerajaan negeri berhasrat menubuhkan pasukan Briged Kebersihan dan Kelestarian bagi memantau dan menguatkuasakan peraturan berkaitan pembuangan sampah.

MBJohor-06“Sejak mengetuai pentadbiran negeri, saya menanam azam untuk menjadikan Johor dan masyarakatnya maju dan berdaya saing serta menikmati kualiti hidup bermutu, sihat dan penuh nilai kerohanian. Menjadi impian saya untuk melihat Johor membangun dan maju.

“Tidak ada makna menjadi metropolis gah dengan bangunan pencakar langit dan gaya hidup moden sekiranya Johor dan penduduk mempunyai lingkungan persekitaran yang tidak bersih, tidak kemas dan tidak diselenggara,” katanya.

Justeru, kata Mohamed Khaled, program Johor Bersih dan Lestari diperkenal dengan hasrat mewujudkan gelombang perubahan sihat dan bersih dengan masyarakat me­lalui proses perubahan minda, sikap dan tabiat kebersihan yang bermula dari rumah.