Usaha Perkasakan Semula Tulisan Jawi

MUAR 19 April – Penggunaan tulisan jawi perlu diperkasakan dengan mewujudkan instrumen atau aplikasi digital yang boleh memartabatkan tulisan itu yang pernah digunakan sebagai bahasa persuratan dan perhubungan dalam tamadun Melayu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, sebagai contoh satu perisian berkenaan tulisan jawi perlu diwujudkan supaya khazanah Melayu yang tidak ternilai itu terus relevan dalam abad ke-21.

“Pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan kita perlu mencipta satu aplikasi menggunakan tulisan jawi, contohnya jika kita ingin tahu perkataan Melayu dalam tulisan jawi, pautan itu boleh didapati di internet atau melalui perisian tertentu.

DRI - Pertandingan Semarak Jawi“Tulisan jawi tidak seharusnya digunakan oleh murid sekolah agama sahaja. Usaha memartabatkan tulisan ini adalah tanggungjawab bersama supaya kembali diminati dan digunakan secara meluas oleh generasi muda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Jalinan Ukhuwah An-nur Semarak Jawi di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Waqaf An-nur Corporation Berhad, Norishah Mohd. Seth.

Razali berkata, usaha mengangkat semula martabat tulisan jawi tidak harus dipersenda atau diperlekehkan kerana jika tidak dilakukan, warisan Melayu itu akan pupus ditelan zaman seperti mana tulisan lama lain.

Malah katanya, keadaan masa kini adalah menyedihkan kerana ramai generasi muda yang ‘buta jawi’.

Jelasnya, usaha ‘menyegarkan’ semula tulisan itu tidak seharusnya dilihat dalam konteks perkauman sempit kerana tulisan itu merupakan warisan negara.

“Rakyat perlu tahu bahawa tulisan jawi bukan perkara kecil, tetapi merupakan lambang kehalusan bangsa menerusi kesenian yang wujud padanya dan pernah digunakan secara meluas.

“Tulisan jawi pernah mencapai zaman kegemilangannya pada abad ke-18 hingga penjajah Inggeris di Tanah Melayu ketika itu perlu belajar dan membaca tulisan jawi. Ini dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British antara 1786 hingga 1794,” katanya.Razali-01

“Begitu juga perjanjian antara Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor selain Perjanjian Pangkor 1874 dan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957. Tulisan merupakan satu lambang kesenian dan ketinggian serta kehalusan jiwa bangsa,” ujarnya.

Tulisan katanya, tidak boleh dianggap perkara kecil dan usaha JCorp mengembalikan semula akhbar jawi Utusan Melayu dalam edisi cetak bermula 16 Februari lalu merupakan satu langkah awal menghidupkan semula khazanah itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, usaha tersebut perlu diperluaskan dan syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri lain harus mencontohi usaha JCorp dalam menerbitkan dan mengedarkan akhbar jawi itu.

– Utusan Malaysia