Hari Terakhir Karnival JCorp Di Muar Meriah

MUAR 19 April – Siri pertama Karnival JCorp 2015 peringkat daerah sempena sambutan Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selama tiga hari di Dataran Tanjung Emas di sini me­labuhkan tirainya hari ini.

Program dimulakan dengan Kempen Gaya Hidup Sihat Berjalan 10,000 Langkah yang disertai 600 peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan, pelajar dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan rekreasi Tanjung Emas.

Karnival JcorpPresiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim menyempurnakan pelepasan kempen itu berhampiran Sungai Muar yang dianjurkan pihak Hospital KPJ Bandar Maharani dan Jabatan Kesihatan Muar.

Karnival itu turut dimeriahkan dengan Program Jalinan Ukhuwah An-nur Semarak Jawi menerusi acara Pertandingan Coretan Jawi dan Jelajah Jawi iaitu pencarian harta karun bertujuan menguji kemahiran peserta dalam memahami tulisan jawi serta pertandingan tulisan jawi dan khat.

Pengunjung juga berpeluang menyertai Mini Explore [email protected] selain dihiburkan dengan telatah dan gelagat dua selebriti Maharaja Lawak iaitu Bell Ngasri dan Ropie yang berjaya mengusik penonton dengan jenaka mereka.

Selepas itu di pentas utama Persembahan Kebudayaan Warisan Seni Ghazal Muar mengambil tempat sebelum kumpulan buskers menunjukkan kebolehan mereka dalam karnival yang diserikan dengan pameran, jualan produk dan kempen pemeriksaan kesihatan percuma.

Kamaruzzaman berkata, karnival tersebut akan diteruskan di empat daerah dan penduduk Johor diundang untuk bersama-sama memeriahkannya kerana pelbagai maklumat serta program disediakan pihak konglomerat negeri itu.

“Karnival JCorp 2015 akan bersambung di Dataran Segamat pada 22 hingga 24 Mei, Dataran Kluang (5-7 Jun), Dataran Kota Tinggi (7-9 Ogos) dan kemuncaknya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (6-8 November).

Sementara itu, seorang pengunjung, Aisyah Abdul Hamid, 18, dari Parit Bakar berkata, karnival tersebut memberi banyak manfaat contohnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepertinya ditawarkan belajar di KPJUC dan KFCH International College.

“Untuk remaja yang ingin be­kerja dengan KFC, syarikat tersebut menawarkan hampir 1,000 jawatan untuk diisi di cawangannya di seluruh negara. Begitu juga puluhan kursus ditawarkan dalam bidang teknikal dan kemahiran,” katanya.

Jamilah Hassan, 45, dari Parit Jamil berkata, karnival tersebut banyak memberi pendedahan kepadanya mengenai peranan dan sumbangan dimainkan syarikat gergasi itu yang selama ini kurang didedahkan kepada umum. (Utusan)