Cukup-Cukuplah Manipulasi…Bergerak Ke Depan Demi Kepentingan Bersama

KUALA LUMPUR 19 April – Ahli Parlimen Sekijang Anuar Abd Manap melihat Akta Hasutan serta Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu adalah kerana mereka takut serta gusar kepada bayang-bayang mereka sendiri.

Justeru beliau menyelar mana-mana pihak yang cuba memanipulasi perkara berkenaan kerana jelas apa yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk manfaat dan kesejahteraan rakyat serta negara.

AnuarManap“Soal jelmaan ISA dan sebagainya lagi yang dikaitkan dengan perkara ini adalah satu perkara yang tidak sepatutnya keluar dan tidak sepatutnya berlaku. Bukankah RUU (POTA) contohnya secara terang menyebut ia bukan utk menangkap atau menjatuhkan kesalahan kepada ahli politik atau parti politik.

“Cuma jika ada berlaku ancaman atau dilihat individu terlibat dalam kegiatan militan ini, potensi akta ini untuk pencegahan awal kejadian-kejadian yang tidak dingini adalah lebih baik tanpa kelulusan RUU sebelum ini.

“Kenapakah adanya pihak-pihak tertentu yang melatah dengan akta tersebut…Malah lebih mengecewakan ianya ditohmah dengan pelbagai tohmahan sedangkan ianya adalah benteng kepada apa yang kita nikmati hari ini,“ katanya di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut beliau seterusnya menambah cukup-cukuplah memanipulasi perkara-perkara serta rancangan dan dasar yang ingin dibawa oleh kerajaan demi kepentingan serta kebajikan rakyat.

“Bukankah mencegah adalah lebih baik daripada merawat dan itulah yang seharusnya menjadi pertimbangan kepada mana-mana pihak yang cuba mempolitikkan akta tersebut.

“Jangan kerana takut dan gusar kepada bayang-bayang sendiri semua pihak diheret ke kancah yang sama. Mengapakah begitu ‘alergic’ dengan akta tersebut.

“Rakyat sudah muak dengan segala permainan dan segala muslihat yang dipertontonkan kerana saya penuh yakin majoriti di negara ini tentunya mahukan sebuah negara yang cintakan kepada apa yang dinikmati hari ini,“ uajr beliau.