Kejayaan JCorp Perlu Dikongsi Rakyat – Khaled

MUAR, 18 April — Kejayaan Johor Corporation (JCorp) dalam memacu pembangunan di negeri ini sejak penubuhannya 45 tahun lalu perlu dikongsi bersama dengan seluruh rakyat.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat perlu mengetahui peranan konglomerat itu sebagai satu instrumen ekonomi yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan Johor.

11169914_1437853889842149_2676454671240403466_n“Sebab itu, segala usaha yang telah dilakukan JCorp yang juga entiti paling besar dimiliki kerajaan negeri perlu untuk rakyat memahami apa yang dilakukan JCorp.

“Setelah 45 tahun, tentu banyak perkara yang JCorp sudah lakukan, tidak diketahui dan perlu diketahui rakyat,” katanya kepada pemberita sebelum majlis pelancaran Karnival JCorp 2015 yang disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Dataran Tanjung Emas di sini, hari ini.

Berangkat sama, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; puterinya Tunku Tun Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar dan turut hadir anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim dan Presiden JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamed Khaled berkata, JCorp merupakan kebanggaan rakyat Johor dan diharap akan terus memberikan sumbangan serta dikenali bukan sahaja dalam negeri atau negara ini tetapi juga di rantau ini.

Sementara itu, Kamaruzzaman yang juga Ketua Eksekutif JCorp berkata, karnival tersebut merupakan satu cara JCorp dan syarikat dalam kumpulannya menyampaikan pelbagai maklumat kepada rakyat mengenai aktiviti perniagaan dan
penyertaan dalam pembangunan negeri.

Siri pertama karnival itu yang bermula di sini akan disusuli di Dataran Segamat (22 hingga 24 Mei), Dataran Kluang (5-7 Jun), Dataran Kota Tinggi (7-9 Ogos) dan kemuncaknya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (6-8 Nov).