Tidak Perlu UMNO Mainkan Krisis Dalaman Pembangkang Dalam PRK- Ahmad Maslan

ROMPIN, 16 April — UMNO tidak perlu menjadikan krisis dalaman pembangkang sebagai modal untuk meraih undi dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Permatang Pauh, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad
Maslan.

Beliau memberikan jaminan bahawa jentera pilihan raya parti tidak akan berbuat demikian untuk memastikan Rompin kekal sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Pembangkang juga tidak boleh menjangkakan kemenangan mudah di Permatang Pauh kerana BN akan memberikan tentangan sengit di sana, katanya.

AhmadMaslan-01“Kami akan memberikan tumpuan untuk mengukuhkan jentera parti kami. Krisis dalaman dihadapi pembangkang bukan tandanya yang kami berada dalam zon selesa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tentang isu-isu semasa di Felda Keratong 5 dekat sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahusain.

Ahmad turut mengambil perhatian bahawa BN akan memberi tumpuan pada empat isu yang dijangka dimainkan oleh pembangkang bagi meraih sokongan di Rompin dan Permatang Pauh.

“Isu berkenaan adalah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Felda, 1MDB dan isu berkaitan kritikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami akan memberikan penerangan yang sejelas-jelasnya supaya orang ramai boleh faham dan menerima keputusan dibuat oleh perdana menteri berhubung isu berkenaan,” katanya.

PRK Parlimen Rompin dijadualkan 5 Mei, selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

PRK Parlimen Permatang Pauh perlu diadakan selepas Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lepas menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Ketua Umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.