PPM Wilayah Dua Rampas 11,000 Kotak Rokok Keretek Di Penggerang

JOHOR BAHARU, 13 April — Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menerusi ‘Ops Landai’ merampas 11,000 kotak rokok kretek bernilai lebih RM100,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini di sebuah ladang kelapa sawit,
di Pengerang, dekat Kota Tinggi, tengah malam tadi.

Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata rampasan dibuat selepas pihaknya berjaya mengesan sebuah kereta Toyota Camry dipandu laju dari arah jalan Sungai Rengit ke Kota Tinggi, pada 12.30 malam.

11159538_963987956944845_5826106797674880058_n“Pasukan operasi bertindak mengejar dan mengarahkan beberapa kali supaya kenderaan menggunakan nombor pendaftaran negara jiran itu berhenti.

“Kereta itu kemudian terbabas dan melanggar sebatang pokok di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran simpang Belungkor,” katanya menerusi kenyataan.

Khiu berkata pemandu kereta itu gagal dikesan kerana berjaya meloloskan diri ke arah ladang kelapa sawit.

Pemeriksaan ke atas kereta menemui kesemua rokok jenama Top Ten Mild yang dipercayai cuba diseludup untuk pasaran tempatan, katanya.

Menurut Khiu, rokok dan kereta itu dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah 2, Pengerang, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.