60 Kampung Di Ledang Dan Pagoh Dikenal Pasti Untuk Inap Desa

MUAR, 13 April — Kira-kira 60 buah kampung di Ledang dan Pagoh di sini telah dikenal pasti untuk dilibatkan dalam program inap desa kerana mempunyai ciri-ciri sesuai untuk menarik ketibaan pelancong.

Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata ia mampu menjadi pemangkin industri pelancongan di kawasan ini berikutan permintaan yang semakin meningkat terhadap program berkenaan.

image-1“Kampung yang terbabit itu melibatkan perkampungan tradisional sama ada kampung induk atau kampung rangkaian selepas didapati menepati ciri-ciri inap desa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia dan Sukan Rakyat Peringkat Daerah Ledang Sempena Kemahkotaan
Sultan Johor di sini hari ini.

Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri itu berkata, program itu membabitkan antaranya Kampung Durian Chondong, Felda Sri Jaya, Kampung Kurnia Sakti, Felda Sri Ledang, Parit Sawah, Parit Sempang, Kampung dan Felda Bukit Kepong, Kampung Tui dan Kampung Raja.

Katanya semua kampung terbabit akan didaftarkan dan diselaraskan di bawah Majlis Pembangunan Pelancongan Parlimen Pagoh (MPPPP).

“MPPPP akan mempromosikan program inap desa dan juga akan menyediakan pakej untuk pelancong yang membabitkan penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 60 peserta akan diberikan kursus dan bimbingan menguruskan inap desa tidak lama lagi.

Menurutnya jika program itu mendapat sambutan pihaknya bercadang mengembangkan pakej sedia ada seperti menyediakan perkhidmatan sewa perahu untuk pelancong memancing atau menikmati keindahan Sungai Muar dan alam sekitarnya.

“Kita juga akan sediakan pakej melawat dan merasa pangalaman makan durian, rambutan dan manggis dalam kebun buah-buahan. Mereka juga boleh menikmati ikan sungai seperti baung, toman dan tapah serta udang galah yang biasa terdapat di kawasan ini,” katanya.