Wahab Haron Dilantik Ketua JPJKK Johor Yang Baharu

JOHOR BAHARU, 12 April — Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Johor ACP Wahab Haron, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Ketua JPJKK Johor yang baharu.

Beliau menggantikan SAC Nor Azizan Anan yang akan bersara, esok.

11087813_1048412848519562_582576073465169468_oMajlis serah terima tugas antara Wahab dan Nor Azizan berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, dengan disaksikan Ketua Polis Johor Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Wahab berkata beliau bersedia menggalas tanggungjawab yang diamanahkan itu dengan penuh dedikasi.

“Saya akan meneruskan wawasan yang ditinggalkan Nor Azizan dan akan bekerja keras memastikan penurunan kadar jenayah di negeri ini,” katanya kepada pemberita.

Nor Azizan yang berkhidmat selama 39 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula bersyukur kerana diberi peluang menerajui JPJKK yang baharu ditubuhkan itu, di penghujung perkhidmatannya.

Beliau berharap jabatan berkenaan akan terus berkembang maju dan relevan sebagai peneraju dalam pencegahan jenayah.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata Nor Azizan banyak berjasa dalam kontinjen berkenaan dan persaraan itu sebagai satu kehilangan besar dalam PDRM.

Pada majlis yang sama, Supt Mohamed Shahar Abd Aziz dilantik sebagai Pegawai Turus Pentadbiran Kontinjen Johor.