Penjelasan PM Reda Kebimbangan Mengenai Ekonomi Negara- Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 April — Penjelasan yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu wawancara Khamis lepas, mampu meredakan kebimbangan rakyat terhadap isu-isu ekonomi negara seperti pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata penjelasan Najib yang sarat dengan maklumat berhubung perkara utama juga dilihat dapat menjawab persoalan dilontarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

ahmad-maslan“Wawancara itu amat baik. Malah, apa yang disebutkan Perdana Menteri juga adalah menyentuh perkara-perkara utama.

“Pada masa sama, ia juga berjaya untuk menafikan tuduhan pelbagai pihak selain dapat menyejukkan suasana panas berhubung isu-isu semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau mengulas keterbukaan Najib yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO menjawab pelbagai isu dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas, Khamis lalu.

Antara isu dijawab Najib menerusi wawancara hampir sejam itu adalah mengenai 1MDB, pelaksanaan CBP, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, prospek ekonomi negara serta kritikan daripada Tun Dr Mahathir.

Bagi isu 1MDB, Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur bagi sebarang salah laku dalam pengurusan kewangan 1MDB.

Merujuk CBP, Najib dengan nada tegas turut menggesa penguatkuasa mengambil tindakan terhadap peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga dan mahu pengguna melaporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sementara itu, Ahmad turut menyuarakan komitmennya untuk terus memberi penjelasan terperinci berhubung CBP yang mula dikuatkuasakan pada 1 April lalu. – Bernama