PRK Rompin Di Tetapkan Pada 5 Mei

PUTRAJAYA, 10 April — Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin akan diadakan pada 5 Mei, demikian umum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata suruhanjaya itu dalam mesyuarat khas hari ini juga menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Rompin pada 22 April, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 30 April.

Abdul Aziz berkata kawasan itu mempunyai 53,294 pemilih berdaftar.

“Daftar pemilih itu terdiri daripada 52,744 pemilih biasa, 545 pemilih awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara,” katanya dalam sidang media mengenai PRK kerusi Parlimen Rompin itu di sini.

PRK RompinPRK Parlimen Rompin perlu diadakan berikutan kematian anggota Parlimennya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Rompin adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Lapan PRK sebelum ini ialah PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014); PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014) dan PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015).

Bagi memastikan proses PRK Rompin berjalan lancar, Abdul Aziz berkata SPR melantik Pegawai Daerah dan Tanah Rompin Datuk Fadzilla Salleh sebagai pegawai pengurus yang akan dibantu lima penolong pegawai pengurus selain menubuhkan enam pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya.

Menurut Abdul Aziz, penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi PRK Rompin akan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, manakala 35 sekolah dan tiga balai raya/dewan akan diguna sebagai pusat mengundi yang mengandungi 119 saluran tempat mengundi.