Kongsi Persamaan Serang BN, Idelogi Sendiri Bercelaru

SEKIJANG, 10 April – Kecelaruan parti-parti pembangkang dalam keputusan tertentu menunjukkan mereka sekadar berkongsi titik persamaan dalam mencari silap kerajaan demi kepentingan politik mereka semata-mata.

Naib Ketua UMNO Bahagian Sekijang, Anuar Manap berkata mengimbau contoh-contoh sebelum ini seperti isu pertukaran Menteri Besar Selangor, isu pilihan raya kerajaan tempatan serta isu hudud menampakkan wajah mereka yang sebenarnya.

Menurut beliau segala kecelaruan dan segala perbezaan yang cuba ditutup seolah-olah tidak menjadi malah ianya lebih menampakkan lagi wajah sebenar mereka yang hanya berminat dan sekata dalam mempolitikkan isu-isu tertentu demi kepentingan mereka semata-mata.

Anuar copy“Jika disusur satu persatu ianya menyerlahkan lagi sikap serta perangai mereka yang hanya tahu mencari kesalahan kerajaan dan bukannya mahu menghargai kebaikan kerajaan Pusat selama ini.

“Dalam apa jua perancangan serta pelaksanaan yang kerajaan ingin buat untuk rakyat ada sahaja perkara yang mereka bangkitkan dan mereka persoalkan. Bukanlah tidak boleh dan memang diakui bukannya semua kerajaan buat itu betul namun untuk berpolitik biarlah ada had dan batasannya.

“Apa yang saya nampak mereka ini hanya ingin mencari silap kerajaan sahaja dan itu adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Masa yang ada sewajarnya digunakan untuk membangunkan negara dan memberi perhatian serta tumpuan kepada rakyat namun ada masanya ia terjejas gara-gara kerajaan terpaksa menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pembangkang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Sekijang.

Anuar seterusnya percaya bukan sahaja kecelaruan malah titik persamaan itu bakal menjerat diri mereka dan rakyat boleh membuat penilaian tersendiri kelak.

“Kita boleh tengok hari ini bagaimana hubungan antara mereka. Hanya ada kesatuan dan hanya ada muafakat apabila melibatkan serangan terhadap kerajaan namun bab diri sendiri yang terlondeh satu persatu tidak dihiraukan sesama mereka.

“Namun yang menjadi keutamaan seperti yang disebutkan tadi adalah untuk membangkitkan perasaan marah agar rakyat tidak memberikan kepercayaan kepada BN pada pilihan raya akan datang. Itulah matlamat sebenar mereka.

“Namun apa pun kita percaya dan yakin kepada Allah s.w.t, kita melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat sebaik mungkin dan terserah kepada mereka untuk membuat penilaian,” katanya.