Ahli UMNO Perlu Berhati-Hati Dengan Agenda Pembangkang

LABIS, 10 April – Wanita UMNO Bahagian Labis menasihatkan ahli-ahli UMNO di semua peringkat agar perlu berhati-hati dengan tindakan pihak tidak bertangungjawab terutamanya pihak pembangkang yang mempunyai agenda merosakkan perpaduan dan keutuhan dalam UMNO dengan melemparkan pelbagai tohmahan dan fitnah secara berterusan terhadap kepimpinan parti.

Ketuanya Haslinda Salleh berkata, kita sedar memang ada segelintir yang mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang akan terikut-ikut dengan pandangan yang dibawa pihak tersebut, sehingga menganggap apa yang dilakukan kerajaan tidak berasaskan keikhlasan.

Haslinda02“Sehubungan dengan itu, kami melihat keperluan untuk UMNO menyediakan pasukan media siber dalam menangkis tohmahan terhadap kerajaan yang kini berleluasa di media alternatif seperti blog dan laman sosial, selain memberikan penerangan yang lebih jelas dalam medium-medium media sosial ini khususnya untuk anak-anak muda yang menjadikan media sosial ini sebagai alat untuk mendapatkan maklumat.

UMNO perlu mengambil langkah itu kerana kita dilihat mengambil masa yang agak lama untuk menghentikan atau memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai tohmahan atau fitnah yang dilemparkan.

Kelemahan UMNO dalam peperangan siber menentang media alternatif ini telah menyebabkan pelbagai isu yang telah diputarbelitkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab muncul di Internet,” ujarnya kepada UMNO-Johor.com .

Tambahnya, UMNO tidak boleh leka kerana perkembangan politik hari ini kerana kita mempunyai banyak lagi cabaran di depan.

Justeru, beliau berkata semua ini adalah cabaran yang perlu segera diatasi kerana UMNO satu-satunya wadah perjuangan yang dapat menjaga negara ini dari kehancuran.

“Saya tegaskan kita tidak mahukan permusuhan dengan sesiapapun kerana kita tahu permusuhan tidak membawa apa-apa kebaikan, melainkan kemusnahan, kesusahan rakyat dan seumpamanya. Namun dalam menghadapi setiap tohmahan dan permainan politik kotor ini, Wanita UMNO perlu kuat dan bersatu demi memperkasakan parti.

“Kita bukan sahaja perlu merapatkan hubungan antara kita dan bukan Melayu dalam semangat 1Malaysia, tetapi juga mengelakkan perpecahan di kalangan dikalangan ahli dan pimpinan parti di semua peringkat. Kita perlu bersatu bagi mengelakkan jentera parti kita lemah dan membuka ruang kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan,” ujarnya lagi.