Saya Tetap Hormati Tun Dr Mahathir – Najib

KUALA LUMPUR, 9 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tetap menghormati Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun bekas pemimpin negara itu banyak melontarkan kritikan terhadapnya kebelakangan ini.

Najib berkata beliau meneliti dan menimbang kewajaran setiap kritikan Tun Dr Mahathir, namun berharap setiap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab.

Dalam wawancara menerusi program Soal Jawab TV3 Edisi Khas bersama Perdana Menteri yang disiarkan malam ini, Najib berkata bekas perdana menteri itu pernah meminta beliau melakukan beberapa perkara termasuk membina jambatan bengkok untuk menggantikan Tambak Johor.

THK_7175-300x200“Saya dah bagi pandangan atas perkara ini. Saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua individu…agak sihat kalau ada perbezaan pendapat tapi macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada rakyat dan parti,” jelasnya.

Ditanya adakah kritikan berterusan Dr Mahathir memberi kesan kepada pentadbirannya, Najib berkata beliau akan terus bersikap terbuka dan menimbang sebarang kritikan serta bersedia melakukan penambahbaikan.

Meskipun dihujani pelbagai kritikan oleh bekas perdana menteri itu, Najib berkata pandangannya terhadap Dr Mahathir tidak berubah.

“Saya tidak akan apa-apa dengan kritikan Tun Mahathir. Tetapi saya ingin menyatakan bahawa, hakikatnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti.

“Sama ada hubungan kita ini macam dulu atau tidak, masa akan tentukan. Tapi bagi saya, saya beriltizam untuk menyerahkan kedudukan saya kepada rakyat dan parti,” katanya.

Bagaimanapun, kata Najib pendirian itu tidak bererti beliau tidak menghormati mana-mana individu.

Malah, kata Najib beliau menunjukkan tanda hormat dengan berbincang dengan Dr Mahathir walaupun beliau adalah seorang perdana menteri.

“Tapi macam mana pun bila kita bincang, saya perlu buat keputusan sebagai perdana menteri,” katanya.