Program Transformasi Negara PDK Daerah Muar , menjadikan kakitangan PDK Daerah Muar lebih bersedia di dalam membangunkan komuniti kurang upaya.

Muar, 8 April – Program Transformasi Negara, Kakitangan PDK (Pusat Dalam Komuniti) Daerah Muar telah diadakan di Kem Bina Negara Gunung Pulai, Kulaijaya Johor bermula pada 6 April 2015 dan berakhir pada 8 April 2015. Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar PDK Daerah Muar telah menyertai kursus ini.

Program Transformasi Negara ini berbentuk kursus 3 hari 2 malam dan dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih dan fasilitator BTN negeri Johor. Antara slot yang dikongsikan ialah ceramah : Wacana Minda bagi memupuk semangat jati diri dan cintakan negara, Aktiviti Riadah dan rekreasi untuk membentuk semangat bekerjasama secara berpasukan dan tidak ketinggalan tazkirah Subuh dan Kuliah Maghrib.

YB zai BTN“Memandangkan tugas dan tanggungjawab mereka lebih mencabar kerana mendidik komuniti kurang upaya, maka itulah saya mengambil inisiatif mengadakan kursus ini dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Muar dan BTN negeri Johor. Saya juga turut serta di dalam kursus ini untuk memberi semangat dan saya mahu melihat sendiri perubahan dalam diri setiap peserta. ” Kata YB Puan Zaiton Bin Ismail , ADUN Sg Balang yang juga merangkap Naib Pengerusi PDK dareah Muar di dalam ucapan menutup rasmi program tersebut.

“Saya berharap para peserta lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh di dalam menjalankan tugas selepas menghadiri kursus ini. Saya juga mahu setiap peserta kongsikan dan amalkan ilmu yang diperolehi dari kursus ini di PDK masing-masing. Alhamdulillah sepanjang 3 hari 2 malam ini saya nampak perubahan ketara dari segi sikap dan semangat setiap perserta dan mereka kini lebih bertanggungjawab dan bermotivasi untuk melaksanakan tugas di dalam membangunkan komuniti kurang upaya selari dengan dasar kerajaan yang mahukan komuniti kurang upaya tidak ketinggalan di dalam pembangunan negara.”

“Akhir sekali , saya mahu setiap peserta sentiasa fokus dalam melaksanakan tugas mereka dan mengamalkan setiap ilmu yang mereka terima disini. Selain itu saya amat berharap mereka akan menjadi agen kerajaan di dalam memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dan membantu kerajaan memastikan negara terus kekal aman dan sejahtera.” Ucap beliau ketika mengakhiri ucapan.