GST…Perkara Baru Sudah Tentu Ada Kelemahan Dan Kekurangan

LABIS, 8 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang Azhar Ibrahim percaya segala permasalahan dan kekurangan serta kelemahan dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan ditangani sebaik mungkin oleh pihak berkaitan.

Menurut beliau setiap benda baru atau pun segala dasar baru yang diperkenalkan oleh kerajaan sudah tentu ada kekurangan yang timbul dan perkara itu sudah pasti akan diambil perhatian untuk dicari jalan penyelesaian.

“Kita sendiri terima pelbagai aduan daripada rakyat dalam soal ini dan kita telah ajukan kepada pihak-pihak berkaitan. Ini melibatkan soal kepentingan rakyat dan sudah pastilah kerajaan mengambil tumpuan serius.

Azhar copy“Takkanlah kerajaan akan membiarkan segala yang berlaku itu tanpa ada penyelesaian terbaik. Kita faham dan akur dengan segala yang ditimbulkan hari ini. Cumanya kadangkala kekeliruan itu juga timbul dalam perkara ini.

“Atas dasar itu UMNO bahagian turut mengambil inisiatif bekerjasama dengan pihak KPDNKK dan sebagainya lagi dalam memberikan kefahaman kepada penduduk setempat pada 23 April ini dengan mengadakan majlis penerangan mengenainya,“ katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Tenang seterusnya menambah CBP adalah satu sistem percukaian yag baik untuk ekonomi negara.

“Saya percaya dahn penuh yakin hasilnya nanti sudah pasti akan kembali kepada rakyat dalam pelbagai bentuk. Cumanya diperingkat awal pelaksanaan perkara itu tidak akan nampak.

“Pelbagai bentuk manfaat akan dinikmati oleh rakyat kelak hasil daripada pelaksanaan ini. Kerajaan sudah pasti mempunyai perancangan mereka untuk manfaat dan kepentingan rakyat. Kita tunggu dan lihat nanti,“ katanya.