Bincang Isu Tun Mahathir, Najib Dalam Semangat Keluarga UMNO

KUALA LUMPUR, 7 April – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, semua ahli UMNO perlu melihat keterbukaan hak demokrasi untuk bersuara dan menyatakan pendapat peribadi harus disusuli dengan rasa tanggungjawab dan kesaksamaan.

Perkara ini jelas beliau dapat dilihat dalam pendapat terbuka bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam blognya yang memberi kenyataan terbuka selain dari hati mengenai pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Puteri UMNO melihat pandangan tersebut demi kelangsungan UMNO sebagai sebuah parti keramat dan utuh di hati rakyat  selama-lamanya.

“Namun begitu adalah lebih manis jika setiap kritikan berkenaan dibincangkan secara dalaman dan hasil positifnya dinyatakan secara terbuka untuk pengetahuan ramai,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.

Tambah beliau, ahli UMNO mempunyai pilihan tersendiri dalam menyatakan pendapat mengenai isu yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir di mana setiap ahli mempunyai kebebasan untuk bersuara, diam, berpihak, berkecuali atau menjadi ‘air’ atau ‘minyak’ dalam isu berkenaan.

Ini adalah kerana katanya lagi misi dan matlamat akhir bagi setiap pandangan juga perlu memenuhi fokus utama iaitu terus kukuh dan kekal berkuasa selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan selama-lamanya.

Ketua Puteri

Justeru beliau berkata, Pergerakan Puteri UMNO meminta setiap usaha ke arah kesepakatan parti harus berpaksikan sokongan yang tidak membawa rebah dan bersifat intelektual dengan mempertimbangkan kepada keutuhan UMNO pada akhirnya.

“Puteri juga mahu setiap ahli UMNO menguatkan semula ikatan kekeluargaan dalam parti dan memberi sepenuh sokongan kepada pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai nakhoda.

“Tidak timbul isu untuk mana-mana ahli dalam parti memberi sokongan kepada Presiden Parti atau sebaliknya tetapi sebagai sayap bongsu parti, Puteri mahu melihat kepentingan utama untuk bersama seiringan langkah dengan Datuk Seri Najib dan menyatakan kesetiaan untuk bersama beliau dalam menunaikan tanggungjawab kepada parti dan Negara,” katanya.

Selain itu Ermieyati juga menjelaskan, isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang ditimbulkan Dr. Mahathir sudah lama selesai maka perkara ini tidak sepatutnya ditimbulkan semula.

Adalah lebih baik tegas beliau kerajaan memberi lebih penekanan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan memberi lebih penjelasan mendalam supaya pelbagai pertanyaan rakyat terutama sekali kepada golongan muda dapat dijawab dengan jelas selain memberi gambaran lebih jelas agar tidak dijadikan senjata pembangkang untuk menghentam kerajaan.

“Tindakan Perdana Menteri meminta agar pihak Ketua Audit Negara (AG ) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC ) menyiasat perkara ini adalah satu tindakan yang patut dipuji maka saya mohon agar rakyat dan semua pihak perlu sabar menanti hasil siasatan tersebut.

“Rakyat harus sedar, pelbagai pendapat yang dikeluarkan oleh veteran UMNO termasuk Dr. Mahathir merupakan ramuan untuk memastikan hubungan kekeluargaan di dalam parti menjadi semakin rapat dan erat.

“Ini adalah rentetan tangga-tangga ke arah puncak semangat bersatu-padu bagi mencapai sebuah parti paling utuh di negara ini,” jelasnya lagi.

Pepatah ‘Air dicincang tidak akan putus’ tambah beliau merupakan frasa terbaik untuk setiap ahli UMNO dalam menghadapi pelbagai perbezaan pendapat akhir-akhir ini.

Perbezaan pendapat ini merupakan proses merapatkan ukhwah dan memperbetulkan kesilapan demi perjuangan parti untuk membela nasib orang Melayu dan negara tercinta, ujar Ermieyati seterusnya.