Seramai 1,500 Belia Islam Johor Akan Terima Bantuan Kembangkan Perniagaan

JOHOR BAHARU, 8 April– Seramai 1,500 belia Islam negeri ini bakal menerima bantuan bagi mengembangkan perniagaan menerusi peruntukan dana berjumlah RM1.5 juta, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Warisan dan Kebudayaan Datuk Zulkurnain Kamisan, berkata bantuan tersebut adalah rentetan kejayaan perlaksanaan program yang dimulakan pada tahun lepas.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM650,000 tahun lepas bagi membantu belia-belia Johor mengembangkan perniagaan mereka dan seramai 600 orang belia sudah mendapat manfaatnya,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

YB-dato-zulkurnain-bin-hj-kamisanBerdasarkan kejayaan itu, kata Zulkurnain, kerajaan negeri telah bersetuju untuk meneruskan program itu termasuk pemberian bantuan penjaja kecil sebanyak RM500 dan bantuan bagi persatuan-persatuan belia yang bergerak aktif iaitu antara RM5,000 sehingga RM10,000.

“Mereka boleh menjadikannya sebagai modal pusingan perniagaan. Pada masa yang sama, ia dapat memperkasakan aspek keusahawanan dan ekonomi serta turut membantu belia lain,” katanya.

Program bantuan itu juga, katanya, memberi peluang kepada kerajaan negeri membantu belia Islam negeri itu yang berminat mengusahakan perniagaan sendiri selain menggalakkan mereka untuk terus maju dalam bidang keusahawanan.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat Perbadanan Islam Johor dan Jabatan Belia dan Sukan negeri atau dimuat turun menerusi www.pij.gov.my

Tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Mei 2015.