Komunikasi berkesan elemen penting siswa

JOHOR BAHRU 7 April – Generasi muda khususnya golongan mahasiswa harus melengkapkan diri dengan kemahiran komunikasi berkesan dalam usaha menempatkan mereka dalam industri pekerjaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, kemahiran berkomunikasi dengan berkesan amat penting kerana itu merupakan antara aspek yang sering dititikberatkan pihak majikan dalam mencari pekerja.

imageMenurutnya, kemahiran berkomunikasi secara berkesan juga seharusnya meliputi lebih daripada satu bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

“Penuntut universiti harus bersikap proaktif dalam mempersiapkan diri mereka sebelum menceburi bidang kerjaya dengan meningkatkan kemahiran dan modal insan mereka.

“Antara aspek utama yang harus diberi penekanan adalah kemahiran berkomunikasi dengan berkesan, kerana ia adalah elemen yang sangat penting,” katanya dalam sidang akhbar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.

Beliau berkunjung ke UTM bersempena dengan Karnival Kerjaya UTM yang diadakan di Dewan Sultan Iskandar, UTM. Yang turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar.

Sebanyak 45 buah syarikat dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam karnival selama dua hari yang diadakan bermula 31 Mac lalu itu dengan pelbagai bidang pekerjaan ditawarkan.

Antara syarikat yang terlibat UM Land Bhd., Schlumberger (WTA) M. Sdn. Bhd., Maybank Bhd. dan Holcim Malaysia Bhd. – Utusan